SHAH ALAM, 8 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan mencadangkan agar 23 aktivis Sumud Nusantara Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza menulis dan menghimpunkan pengalaman mereka, khususnya ketika ditahan rejim Zionis, dalam sebuah buku.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, walaupun bantuan kemanusiaan kali ini tidak dapat disalurkan secara langsung kepada rakyat Gaza, usaha dilakukan GSF tetap bermakna kerana berjaya membuka mata dunia terhadap penindasan serta kekejaman sebenar Israel ke atas rakyat Palestin.
“Baginda telah mengikuti rapat perkembangan gerakan flotila ini dan prihatin dengan nasib yang menimpa mereka apabila ditahan oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa semasa menuju ke Gaza.
“Baginda amat menghargai dan kagum dengan usaha serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh 23 aktivis Malaysia yang terlibat, serta kesemua misi sukarela yang dikendalikan oleh GSF demi membantu rakyat Palestin yang masih ditindas oleh rejim Zionis,” menurut kenyataan Istana Alam Shah di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Kenyataan sama memaklumkan Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan menguruskan pembebasan semua aktivis Malaysia dengan segera melalui kerjasama erat bersama Kerajaan Turkiye.
“Sultan Selangor berkenan menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas kembalinya mereka ke tanah air dengan selamat.
“Sebanyak 23 aktivis menyertai GSF yang bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan dan keperluan harian kepada rakyat Gaza,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada Khamis lalu, kapal yang membawa 23 aktivis Malaysia dalam misi GSF dipintas sebelum mereka ditahan tentera rejim Zionis Israel di perairan Zon Merah Laut Mediterranean, kemudian dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada jam 6.45 petang waktu Malaysia Sabtu lalu, sebelum tiba di Istanbul pada jam 8.40 malam waktu Malaysia.
Malam tadi, semua 23 sukarelawan warga Malaysia yang dibebaskan selepas ditahan tentera Israel selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1).
