ad

Dari bilik darjah ke perpustakaan, bekas pengetua terus curah ilmu

10 Okt 2025, 12:00 AM
Dari bilik darjah ke perpustakaan, bekas pengetua terus curah ilmu
Dari bilik darjah ke perpustakaan, bekas pengetua terus curah ilmu
Dari bilik darjah ke perpustakaan, bekas pengetua terus curah ilmu
Dari bilik darjah ke perpustakaan, bekas pengetua terus curah ilmu
Dari bilik darjah ke perpustakaan, bekas pengetua terus curah ilmu
Dari bilik darjah ke perpustakaan, bekas pengetua terus curah ilmu
Dari bilik darjah ke perpustakaan, bekas pengetua terus curah ilmu

Persaraan sering dianggap noktah terakhir bagi seorang guru. Namun, bagi Azman Sharif, 59, atau lebih mesra disapa Cikgu Azman, ia hanyalah helaian baharu yang membuka ruang untuk terus menulis kisah jiwa pendidik.

Dengan senyuman yang tidak pernah lekang dan tutur kata penuh lembut, bekas pengetua SMK Bandar Saujana Putra, Kuala Langat ini percaya pendidikan tidak pernah terikat pada dinding sekolah semata-mata.

Baginya, ilmu mampu berakar di mana sahaja, terus bertunas walaupun seorang guru sudah meninggalkan bilik darjah.

Selepas 35 tahun menabur bakti, naluri kebapaan membawanya kembali ke dunia dicintai. Hasrat asalnya cuma mahu membimbing anak bongsu menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun kasih seorang bapa menjalar lebih luas. Dari niat kecil itu lahirlah Kelas Cikgu Azman (KCA), ruang ilmu terbuka buat rakan-rakan anaknya dan sesiapa sahaja yang dahagakan bimbingan.

Bilik seminar Perpustakaan Awam Banting menjadi saksi. Dalam ruang sederhana itu, deretan wajah pelajar hadir dengan harapan.

Ada datang dari keluarga susah, ada yang hampir berputus asa. Tetapi semuanya duduk bersama, berkongsi satu tekad, menguasai subjek Sejarah.

Azman Sharif

Cikgu Azman menyedari mata pelajaran itu sering dianggap beban. Fakta panjang, tarikh bersusun, nama tokoh yang sukar diingati. Namun, di tangannya, buku yang kaku kembali bernyawa.

Dengan suara beralun tegas, beliau mengheret jiwa anak didiknya berlayar ke masa silam.

“Sejarah tidak boleh diajar sekadar fakta. Ia perlu diceritakan semula supaya menjadi hidup,” katanya penuh semangat kepada Media Selangor.

Keunikan KCA terletak pada pendekatannya. Beliau menjadikan Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sebagai asas pembelajaran.

Modul itu bukan asing baginya kerana beliau pernah menjadi panel penulis serta menguruskan pelaksanaannya ketika bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri sudah membelanjakan banyak untuk hasilkan modul ini. Sayang kalau ia tidak digunakan sepenuhnya,” kata bapa kepada lima cahaya mata ini.

PTRS, jelasnya, bukan sekadar helaian kertas, tetapi jambatan yang menghubungkan pelajar dengan bentuk soalan sebenar.

Digabung dengan gaya penceritaan yang menghidupkan Sejarah, modul itu menjadikan kelasnya bukan sahaja medan ilmu, tetapi juga meniupkan semangat.

Minat terhadap mata pelajaran itu berakar sejak di Universiti Kebangsaan Malaysia, tempat beliau menimba ilmu hingga menggenggam ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang sastera.

Lautan ilmu yang diperoleh tidak pernah dibiarkan kering, sebaliknya terus dialirkan kepada generasi pelapis.

Lebih manis, tiga anaknya kini turut bergelar guru, kesinambungan warisan kasih seorang bapa yang percaya mengajar adalah pekerjaan mulia.

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau menitipkan pesanan ringkas tetapi penuh makna.

“Kalau mahu jadi guru, kena ada jiwa yang luhur. Barulah ilmu yang kita curahkan jadi cahaya untuk anak bangsa,” katanya.