SHAH ALAM, 8 OKT: Kementerian Luar Negeri mengesahkan sembilan warganegara adalah antara peserta yang berada di atas kapal misi Freedom Flotilla Coalition-Thousand Madleens To Gaza (FFC-TMTG) yang diserbu tentera Israel hari ini.
Wisma Putra memaklumkan semua perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan kini giat berusaha bagi memastikan pembebasan segera dan selamat semua peserta yang ditahan serta memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin.
“Semua perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan telahpun diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan telah mengambil langkah proaktif bagi menghadapi insiden ini.
“Ia termasuk melaksanakan penyelarasan rapi dengan pihak berkuasa serta kerajaan negara yang berkaitan,” maklumnya menerusi kenyataan.
Wisma Putra juga menyeru semua peserta flotilla dibebaskan serta-merta dan tanpa syarat, serta menuntut Israel menghormati hak mereka sebagai sukarelawan kemanusiaan dan memastikan keselamatan serta maruah mereka terpelihara pada setiap masa.
Tegasnya, tindakan pemintasan dan serangan oleh rejim Zionis itu jelas merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.
“Pelanggaran ini termasuk undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
“Malaysia berdiri teguh menyatakan solidariti penuh bersama rakyat Palestin dan menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus menyokong segala usaha antarabangsa bagi menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza serta mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan di rantau tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan itu dipintas oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di perairan antarabangsa ketika menghampiri zon merah Gaza, sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
Misi FFC-TMTG disertai 150 peserta dari 25 negara, termasuk sembilan rakyat Malaysia, dengan lapan daripadanya berada di atas kapal Conscience, dan seorang lagi di atas kapal layar Umm Saad.