KOTA BHARU, 8 OKT: Semua agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kini berada pada tahap siap siaga penuh menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini, dengan penempatan awal aset, peralatan dan kemudahan logistik di kawasan berisiko banjir.
Pengarah Bahagian Mitigasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Ahmad Shahrir Md Nazri berkata kesiapsiagaan itu digerakkan susulan ramalan awal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang menjangkakan episod hujan berterusan dan banjir besar akan berlaku antara November hingga Disember ini.
“Berdasarkan pengalaman banjir-banjir yang lepas, Nadma telah memperkemas penyelarasan menerusi jawatankuasa bencana negeri.
"Semua agensi terlibat kini sudah bergerak termasuk penempatan pam bergerak di kawasan panas (hotspot) dan penyediaan peruntukan khas bagi penambahan aset," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana 'Amaran Awal, Tindakan Bersama', di sini, hari ini.
Beliau berkata Nadma menerusi Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) telah menyalurkan arahan kepada semua negeri agar melaksanakan mesyuarat penyelarasan awal dan menyemak semula keperluan logistik di bawah tanggungjawab masing-masing.
“Peralatan dan kemudahan semua telah disiapkan. Sekiranya perlu, pusat pemindahan sementara (PPS) akan diaktifkan segera. Lokasi-lokasi PPS juga telah dikenal pasti lebih awal,” katanya.
Ahmad Shahrir berkata antara langkah utama yang diberi penekanan tahun ini ialah penambahbaikan mekanisme penyaluran bantuan dan penyelarasan logistik bagi mengelak kelewatan seperti yang berlaku semasa bencana besar pada 2021.
“Kita sedar bahawa setiap kali bencana, isu logistik seperti peralatan jauh dari kawasan terjejas sering timbul. Jadi kali ini, penempatan aset dibuat lebih dekat dan mudah dicapai oleh agensi pelaksana,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini mempunyai lebih 200 pam bergerak dan bakal menerima tambahan 41 unit baharu bagi memperkukuh operasi di lokasi berisiko genangan air.
“Pam bergerak ini akan digerakkan mengikut keperluan semasa, bukan dipasang kekal di satu lokasi. Ia penting untuk mempercepat proses pengaliran semula air selepas hujan berhenti,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak termasuk media agar menyalurkan maklumat yang sahih dan tidak menimbulkan kekeliruan semasa musim banjir nanti.
“Kita berharap saluran komunikasi rasmi Nadma dan NDCC digunakan sepenuhnya untuk memastikan maklumat bencana disampaikan dengan tepat kepada rakyat,” katanya.
Selain itu, Ahmad Shahri memaklumkan sebanyak 1,912 kawasan panas atau hotspot banjir telah dikenal pasti di seluruh negara, dengan lokasi PPS turut ditetapkan bagi menghadapi kemungkinan bencana.
Katanya hotspot berkenaan melibatkan Sabah sebanyak 318 lokasi, Sarawak (236), Kedah (221), Pahang (172), Kelantan (26) dan Terengganu (17).