ad

Langgar peraturan udara bersih, syarikat kitar semula plastik didenda RM30,000

8 Okt 2025, 5:21 AM
Langgar peraturan udara bersih, syarikat kitar semula plastik didenda RM30,000

SHAH ALAM, 8 OKT: Sebuah syarikat kitar semula sekerap plastik di Taman Perindustrian Sungai Sedu, Banting didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melanggar Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Wandi Yadzid Yaakob berkata siasatan dijalankan susulan aduan awam berhubung kegiatan premis yang disyaki mencemarkan udara.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti kitar semula sekerap plastik menggunakan mesin extrusion serta terdapat lambakan bahan plastik di lokasi.

“Premis tersebut gagal memaklumkan kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling mengenai kerosakan sistem kawalan pencemaran udara, tidak melantik individu berwibawa untuk mengendalikan sistem itu serta gagal menyelenggara dan merekodkan prestasi sistem sebagaimana disyaratkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman denda terhadap pengarah syarikat yang hadir mewakili syarikatnya sebagai orang kena saman selepas membuat pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan.

Mengikut peraturan, setiap kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Wandi Yadzid menegaskan JAS Selangor akan terus mempergiat pemantauan bagi memastikan semua premis industri mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya.

“JAS Selangor komited memastikan pematuhan berterusan terhadap undang-undang alam sekitar. Premis yang ingkar boleh dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi,” tegasnya.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pencemaran boleh membuat aduan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel aduan_k@doe.gov.my atau melalui portal e-Aduan JAS di eaduan.doe.gov.my