ad

SIBS 2025 pacu perdagangan dan pelaburan Selangor di tengah ketidaktentuan global

8 Okt 2025, 4:41 AM
SIBS 2025 pacu perdagangan dan pelaburan Selangor di tengah ketidaktentuan global

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 membuka tirainya hari ini di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global susulan ketegangan geopolitik serta dasar tarif unilateral Amerika Syarikat (AS), selain debaran menjelang Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.

Bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sehingga Sabtu ini, SIBS 2025 hadir tepat pada masanya sebagai platform penting untuk Selangor memperkukuh rangkaian perdagangan, menarik pelaburan dan mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai pemacu ekonomi Malaysia dalam landskap global yang sedang berubah.

Menyedari kepentingannya yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri turut menaik taraf SIBS 2025 sebagai acara rasmi dalam rangka program Sidang Kemuncak ASEAN — sekali gus memperlihatkan peranan diplomatik dan ekonomi Selangor yang semakin menyerlah di peringkat serantau.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan penganjuran SIBS menjadi medan utama bagi menampilkan potensi ekonomi dan peluang pelaburan negeri, seiring usaha memposisikan Selangor sebagai hab ekonomi utama ASEAN ketika Malaysia memegang kerusi pengerusi ASEAN tahun ini.

Peserta menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

SIBS 2025 turut berlangsung selepas Selangor mencatat pelaburan tertinggi dan sumbangan besar terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara. Tahun lalu, Selangor menyumbang RM432.1 bilion kepada KDNK Malaysia, bersamaan 26.2 peratus daripada keseluruhan aktiviti ekonomi negara — meningkat daripada 25.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Selain fokus utama terhadap perdagangan, pelaburan dan pembangunan industri, edisi kali ini juga menumpukan kepada sektor memuncul baharu seperti ekonomi penjagaan (care economy) dan aeroangkasa, sejajar dengan usaha negeri memperluas asas ekonominya.

Antara tumpuan utama ialah Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor yang bakal berlangsung esok selama tiga hari, menghimpunkan pemain industri, penyelidik dan ahli akademik bagi membincangkan hala tuju masa depan sektor berkenaan.

Acara itu diadakan susulan pelancaran Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS 2024–2030) pada November tahun lalu, yang merangka strategi jangka panjang membangunkan ekonomi penjagaan mampan dan inklusif.

Turut diperkenalkan buat pertama kali ialah Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS), jenama baharu menggantikan Pameran Penerbangan Selangor. SAS kali ini tampil dalam format pameran dan persidangan tertutup yang memfokuskan kepada sektor aeroangkasa merangkumi penerbangan komersial, umum dan korporat, tanpa pameran pesawat statik.

Ketua Pegawai Eksekutif National Aerospace Industry Corporation (NAICO) Malaysia  Prof Ts. Shamsul Kamar Abu Samah berucap sempena Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) Panel 2: menghubungkan titik-titik ketersambungan logistik dan rantaian bekalan ASEAN sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Selain dua acara baharu itu, SIBS 2025 kekal menampilkan empat komponen utama: Ekspo F&B Antarabangsa Selangor, Ekspo Pelaburan dan Taman Perindustrian Selangor, Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor serta Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.

Edisi 2024 sebelum ini mencatat nilai potensi urus niaga berjumlah RM13.86 bilion, lebih dua kali ganda berbanding RM6.12 bilion pada tahun 2023. Penganjuran yang diadakan dalam dua siri itu menarik kehadiran 52,845 pengunjung dengan penyertaan 664 pempamer dan 994 reruai, selain memeterai 82 memorandum persefahaman (MoU).

Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran sederhana RM10 bilion nilai urus niaga serta 50,000 pengunjung, namun EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han menjangkakan jumlah sebenar mampu melebihi rekod tahun lalu.

Majlis pelancaran rasmi SIBS 2025 dijadual disempurnakan oleh Dato’ Seri Amirudin Shari petang ini, disertai kehadiran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, serta Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof