SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Negeri akan mempertimbang beberapa inisiatif bagi menarik minat generasi muda menyertai sektor perikanan laut dalam.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata inisiatif tersebut tertumpu kepada bantuan pembiayaan, latihan dan penyediaan peralatan berasaskan teknologi moden.
"Isu ini kita akan bawa dalam mesyuarakat akan datang, kita akan meneliti beberapa keperluan untuk menarik golongan muda menjadi nelayan.

"Perkara ini juga perlu ada sokongan seperti pendapatan sampingan atau akuakultur yang mana saya rasa itu lebih baik dan menarik," katanya kepada Media Selangor.
Tahun lalu, seramai 200 nelayan negeri ini menikmati bantuan berjumlah RM400,000 menerusi program Pembangunan Agropreneur Selangor: Bantuan Nelayan.
Program itu adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang dilaksanakan bagi memperkukuh industri pertanian dan agro Selangor sehingga 2025.