KUALA LUMPUR, 7 OKT: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal 4.1 peratus pada 2026, tidak berubah daripada unjurannya bagi 2025, menurut Bank Dunia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia Dr Apurva Sanghi berkata momentum pertumbuhan semakin perlahan dan dijangka mengalami pertumbuhan sederhana pada 2026 berikutan faktor luaran dan domestik yang dijangka mengehadkan pertumbuhan.
"Unjuran global dan serantau tidak begitu optimis khususnya apabila kami mendapati ekonomi Malaysia sensitif terhadap perubahan di Amerika Syarikat (AS) dan China," katanya dalam taklimat media sempena pengumuman Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia Oktober 2025 di sini hari ini.
Apurva berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia akan didorong terutamanya daripada perbelanjaan pengguna swasta, yang diperkukuhkan dengan kenaikan gaji, bantuan kewangan daripada kerajaan dan dasar monetari yang menyokong.
Mengenai perubahan sensitiviti AS dan China, beliau berkata penurunan pertumbuhan AS sebanyak satu mata peratusan akan merendahkan pertumbuhan Malaysia sebanyak 0.8 mata peratusan.
Selain itu, penurunan satu mata peratusan bagi pertumbuhan China pula merendahkan pertumbuhan Malaysia sekitar 0.45 mata peratusan.
"Kesan daripada kelembapan ekonomi AS kepada Malaysia adalah lebih besar berbanding kesan kelembapan ekonomi China walaupun kedua-duanya penting. Ini adalah antara faktor yang menyederhanakannya," katanya.
Apurva berkata permintaan domestik dan keyakinan isi rumah dan firma juga telah berkurangan berdasarkan petunjuk sentimen perniagaan menerusi Indeks RAM dan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) berikutan ketidaktentuan.
“Syarikat telah melaksanakan pendekatan tunggu dan lihat sehingga ketidaktentuan berkaitan tarif diselesaikan, termasuk ketidaktentuan dalam perniagaan lain.
“Secara keseluruhan, terdapat penurunan dalam sentimen perniagaan dan pengguna... yang berpunca daripada kesan sampingan ketidaktentuan ini,” katanya.
Mengenai cabaran perdagangan dan teknologi, Apurva berkata sektor elektrik dan elektronik Malaysia mungkin kehilangan daya saing dalam pengeluaran semikonduktor termaju terutama cip berkaitan kecerdasan buatan yang kini didominasi oleh Taiwan dan Korea Selatan.
Bagi 2026, beliau berkata pertumbuhan eksport Malaysia diunjurkan tidak berubah pada 2.9 peratus manakala pertumbuhan import dijangka menyusut kepada 3.7 peratus daripada 4.5 peratus sebelumnya.
Apurva berkata perbelanjaan rendah dalam penyelidikan dan pembangunan serta inovasi tempatan yang terhad, yang menyaksikan hanya 13 hingga 18 peratus paten difailkan oleh rakyat Malaysia turut menjadi cabaran yang perlu ditangani.
Menurutnya konsolidasi yang lebih kukuh diperlukan bagi memastikan hutang negara berada pada landasan mampan berikutan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini berada pada 64 peratus.
Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) menetapkan siling hutang 60 peratus perlu dicapai antara tiga hingga lima tahun.
“Terdapat keperluan kepada mobilisasi perolehan yang lebih kukuh di luar daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pematuhan cukai memandangkan kadar atau skop SST tidak boleh dinaikkan berterusan,” kata Apurva.
Beliau berkata Malaysia boleh meliberalisasikan perdagangan di luar daripada AS kepada semua rakan dagang, memanfaatkan hubungan pertumbuhan Asean dan mengurangkan sekatan dalam perdagangan perkhidmatan.
Pembaharuan di peringkat syarikat perlu menumpukan kepada penambahbaikan persekitaran perniagaan, mengurangkan rasuah dalam pemberian permit dan mewujudkan persaingan yang sama rata antara sektor formal dan tidak formal.
“Fasa seterusnya dalam perjalanan ekonomi Malaysia akan bergantung kepada produktiviti, inovasi dan integrasi yang lebih mendalam,” kata Apurva.
- BERNAMA