ad

Operasi roboh kilang haram bukti ketegasan, tiada lagi 'acah' bagi notis

7 Okt 2025, 12:12 PM
Operasi roboh kilang haram bukti ketegasan, tiada lagi 'acah' bagi notis
Operasi roboh kilang haram bukti ketegasan, tiada lagi 'acah' bagi notis
Operasi roboh kilang haram bukti ketegasan, tiada lagi 'acah' bagi notis

SUNGAI BULOH, 7 OKT: Kerajaan Selangor tidak lagi akan bertolak ansur terhadap pengusaha kilang haram yang menceroboh tanah rizab kerajaan, tegas EXCO Kerajaan Tempatan.

Dato’ Ng Suee Lim berkata, persepsi segelintir pihak menganggap Kerajaan Negeri hanya 'acah' bagi notis tanpa tindakan akan dihapuskan melalui pelaksanaan penguatkuasaan sebenar di lapangan.

"Mungkin itu sebab mereka tidak berganjak. Selama ini kita banyak beri peluang dan notis, malah berunding supaya mereka keluar secara sukarela. Namun ada yang ambil ringan dan menganggap kerajaan hanya beri amaran tanpa tindakan atau seperti kata orang Jawa, ngomong wayeh (acah sahaja).

"Hari ini kita buktikan negeri benar-benar serius. Tiada lagi ‘acah-acah’, penguatkuasaan dilaksanakan dengan penuh komitmen," katanya kepada Media Selangor ketika meninjau lokasi operasi perobohan kilang tanpa kebenaran di Sungai Buloh B, hari ini.

Menurut Suee Lim, Kerajaan Negeri sebelum ini sering menerima kritikan kononnya tidak tegas terhadap kilang haram yang beroperasi bagaika 'cendawan tumbuh selepas hujan', walaupun pelbagai langkah pemutihan dan penguatkuasaan telah dijalankan.

"Kerajaan memahami persepsi itu, sebab itu operasi kali ini dilaksanakan dengan penuh ketegasan bagi membuktikan komitmen kita menangani isu kilang tidak sah. Selain mencemar imej pentadbiran, pencerobohan ini turut menyebabkan kerajaan kehilangan hasil," ujarnya.

Beliau menegaskan, tindakan tegas itu bukan bertujuan menghukum tetapi untuk memulihkan semula tanah kerajaan serta kawasan rizab sungai demi kepentingan awam.

"Kita roboh bukan untuk dapat hasil, tetapi untuk memulihkan kawasan ini demi keselamatan rakyat serta mengelak insiden pencemaran air dan kebakaran.

"Kawasan ini juga akan dimasukkan dalam Rancangan Tempatan 2035 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai laluan jalan awam bagi mengurangkan kesesakan trafik," jelasnya.

Suee Lim turut merakamkan penghargaan kepada lebih 400 petugas pelbagai agensi termasuk Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), MBSA, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Media Selangor atas kerjasama menjayakan operasi berkenaan.

Kerja perobohan yang bermula jam 8.30 pagi tadi melibatkan 12 kilang tanpa kebenaran di kawasan Sungai Buloh B. Operasi yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula hari ini dijangka selesai dalam tempoh dua hari berikutan koordinasi padu semua agensi.

Tindakan penguatkuasaan melibatkan perobohan pelbagai struktur binaan haram termasuk bengkel kenderaan, kilang besi, stor simpanan, serta premis industri ringan yang dibina tanpa kebenaran dan lesen sah.