ad

EXCO: 12 kilang haram diroboh, negeri tidak kompromi aktiviti tanpa kebenaran

7 Okt 2025, 8:18 AM
EXCO: 12 kilang haram diroboh, negeri tidak kompromi aktiviti tanpa kebenaran
EXCO: 12 kilang haram diroboh, negeri tidak kompromi aktiviti tanpa kebenaran
EXCO: 12 kilang haram diroboh, negeri tidak kompromi aktiviti tanpa kebenaran

SUNGAI BULOH, 7 OKT: Tindakan tegas merobohkan 12 kilang haram di Sungai Buloh B hari ini menjadi isyarat jelas Kerajaan Selangor tidak lagi berkompromi terhadap aktiviti kilang tanpa kebenaran.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata, kebanyakan premis terbabit menjalankan aktiviti pembuatan perabot, papan iklan, stor dan gudang di atas tanah rizab sungai serta rizab utiliti (RENTIS) Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Kita mahu tunjukkan keseriusan Kerajaan Negeri dalam membanteras kilang haram yang telah lama menceroboh tanah rizab kerajaan.

"Semua pengusaha telah diberikan notis pengosongan mencukupi, termasuk notis terakhir Julai lalu, namun masih enggan berpindah," katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di lokasi operasi hari ini.

Beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri telah memberi tempoh panjang termasuk tiga hingga empat kali notis selain menjalankan proses pemutihan kilang tanpa kebenaran sejak hampir dua dekad lalu, namun hasilnya tidak memberangsangkan.

"Sudah tiba masanya tindakan tegas diambil bagi mengelak tuduhan kononnya Kerajaan Negeri gagal bertindak terhadap kilang haram.

"Hasil siasatan turut mendapati wujudnya ‘orang tengah’ yang menyewakan premis tersebut kepada pengusaha dengan kadar tinggi antara RM7,000 hingga RM12,000 sebulan, menjadikan kutipan keseluruhan hampir RM100,000 sebulan," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengusaha kilang tanpa kebenaran di seluruh Selangor supaya segera hadir ke Pejabat Tanah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing untuk mendaftarkan operasi secara sah sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan.

"Kita beri peluang untuk pemutihan bagi zon yang dibenarkan. Datanglah segera, jangan tunggu sehingga operasi dijalankan di kawasan yang tidak sah," jelasnya.

Operasi perobohan yang dijadual digerakkan selama empat hari itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh dua hari berikutan koordinasi padu semua agensi terlibat.

Lebih 400 anggota pelbagai agensi terlibat termasuk 140 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta wakil Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), TNB, Air Selangor serta Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.