SHAH ALAM, 7 OKT: Kerajaan menyasarkan nisbah 200 penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang 2030, selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021–2030) bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi negara.
Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) semalam, sasaran itu bersamaan dengan unjuran 392,037 penyelidik dalam pelbagai bidang strategik termasuk teknologi tinggi, inovasi tempatan dan penyelidikan industri masa depan.
Langkah tersebut penting bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing di peringkat global dengan memperkukuh kapasiti penyelidikan untuk menjana pengetahuan baharu serta menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi.
MOSTI memaklumkan, sasaran itu turut dijangka mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar melalui pemacuan inovasi tempatan dan penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Berdasarkan Kajian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kebangsaan 2023, nisbah penyelidik Malaysia meningkat kepada 55 bagi setiap 10,000 tenaga kerja pada 2022, berbanding 33 pada 2020.
MOSTI menjelaskan, peningkatan itu menjadi petunjuk positif terhadap keberkesanan usaha kerajaan memperkukuh ekosistem penyelidikan, membangunkan bakat tempatan serta mempercepat pertumbuhan ekonomi berasaskan ilmu.
Usaha berkenaan akan diteruskan melalui pelbagai inisiatif strategik termasuk pengukuhan kolaborasi antara industri dan agensi kerajaan bagi memastikan sasaran DSTIN 2030 dicapai serta mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju inovasi serantau.