SHAH ALAM, 7 OKT: Kerajaan tidak bercadang menyatukan semua institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) di bawah satu kementerian.
Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan sebaliknya memilih pendekatan penyelarasan berpusat yang lebih praktikal dengan memperkukuh ekosistem TVET menerusi dasar dan inisiatif strategik di peringkat nasional.
“Kerajaan telah menubuhkan Majlis TVET Negara (MYTVET) sebagai platform tertinggi dalam membuat keputusan dasar hala tuju TVET kebangsaan. Keanggotaan MYTVET merangkumi semua kementerian penyedia TVET serta pelbagai pemegang taruh berkaitan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN–Pasir Puteh) mengenai sama ada kerajaan bercadang menyatukan institusi yang menawarkan program TVET di bawah satu kementerian bagi tujuan pemerkasaan lebih berfokus.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan turut merancang menubuhkan Suruhanjaya TVET sebagai sebahagian strategi memperkukuh ekosistem TVET negara.