SHAH ALAM, 6 OKT: Dewan Rakyat buat julung kali menyediakan satu hari khas untuk sesi bagi penerangan dan pembentangan oleh pengerusi jawatankuasa pilihan membentangkan penyata masing-masing.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata ia bertujuan memberi pendedahan dan liputan luas kepada rakyat mengenai fungsi dan peranan jawatankuasa pilihan parlimen dalam membincang isu-isu semasa.
“Hari ini juga Dewan Rakyat mencatat satu lagi sejarah dalam akauntabiliti badan eksekutif kepada Dewan Rakyat satu hari telah diperuntukkan untuk melaksanakan urusan penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan,” katanya ketika mempengerusikan Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, sidang yang bakal berlangsung selama 35 hari itu turut memberi tumpuan kepada pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2026.
“Pada minggu ini, urusan Dewan Rakyat akan fokus kepada penerangan mengenai penyata oleh Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pilihan, perbahasan usul laporan ketua audit negara, sesi penerangan Menteri serta Rang Undang-Undang,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Johari turut mengingatkan semua ahli Dewan Rakyat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum 7 November.
“Pemeriksaan kesihatan ini sangat penting dan membantu ahli Dewan Rakyat untuk mengetahui tahap kesihatan mereka pada peringkat awal dan seterusnya membolehkan langkah pencegahan segera diambil,” katanya lagi.