ad

MPKL: Pemilik restoran berisiko didenda jika tandas tidak bersih

5 Okt 2025, 2:45 PM
MPKL: Pemilik restoran berisiko didenda jika tandas tidak bersih

Tandas Tak Capai Standard BMW, Premis Makanan di Kuala Langat Berisiko Didenda atau Hilang Lesen

SHAH ALAM, 5 OKT: Pemilik restoran dan premis makanan di Kuala Langat yang gagal mematuhi syarat tambahan tahap kebersihan tandas akan dikenakan tindakan undang-undang, termasuk tidak layak memperbaharui lesen perniagaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Mohd Hasry Nor Mohd berkata pihaknya telah memberikan tempoh persediaan sejak Oktober tahun lalu melalui sesi taklimat berkaitan syarat tandas bersih, menawan dan wangi (BMW).

“Borang semakan kendiri turut diedarkan kepada semua pengusaha semasa taklimat diberikan. Namun jika premis masih gagal mematuhi dalam tempoh ditetapkan, tindakan boleh diambil.

“Pihak berkuasa tempatan boleh mengeluarkan notis atau kompaun, malah penarafan bintang premis juga boleh ditarik balik sekiranya standard tidak dikekalkan,” katanya kepada Media Selangor.

Sebelum ini, MPKL melalui hantaran di Facebook memaklumkan hanya restoran dan premis makanan yang memiliki tandas bertaraf empat dan lima bintang layak memperbaharui lesen perniagaan.

Standard penilaian itu berasaskan elemen BMW seperti disarankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Orang ramai atau pengusaha boleh mengimbas kod QR yang disediakan MPKL untuk melihat kriteria lengkap serta senarai semak kendiri, atau menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran melalui talian 012-300 4847 bagi pertanyaan lanjut.

Mengulas lanjut, Mohd Hasry berkata masih terdapat premis yang tidak mencapai tahap memuaskan berdasarkan maklum balas awam dan pemerhatian pegawai penguat kuasa.

“Antara isu biasa yang dikesan ialah lantai basah, bau kurang menyenangkan, ketiadaan sabun atau tisu, sistem pengepam rosak atau tersumbat.

“Kebersihan tandas tidak dikekalkan secara konsisten selepas pemeriksaan awal. Oleh itu, inisiatif BMW ini perlu dilihat sebagai usaha meningkatkan standard kebersihan premis secara menyeluruh,” katanya.