SHAH ALAM, 5 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata satu himpunan khas akan dianjurkan bagi meraikan kepulangan wira wirawati Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Menerusi kenyataan beliau menyifatkan aktivis berkenaan merupakan lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan.
"Saya menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.
"Insya-Allah, saya menantikan ketibaan mereka di Kuala Lumpur kelak. Kita akan menganjurkan satu himpunan khas bagi meraikan kepulangan wira dan wirawati kemanusiaan ini.
"Kita juga akan terus menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia bersama saudara di Gaza," katanya.
Menerusi video berdurasi lebih satu minit di Facebook beliau, Anwar juga sempat berbual dengan sukarelawan berkenaan selain bertanya khabar situasi mereka.
"Saya sempat berinteraksi dengan aktivis Malaysia di Istanbul bagi bertanya khabar sebaik dibebaskan dari tahanan rejim Zionis. Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan baik dan semangat mereka masih kental," katanya.
Khamis lalu, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Kesemua rakya Malaysia yang menyertai misi GSF sudah tiba di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan pihak berkuasa Israel semalam, menurut Kementerian Luar.
Kumpulan itu berlepas dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dari Eilat, Israel pada 1.40 tengah hari waktu tempatan dan tiba di Istanbul, Turkiye pada 3.40 petang waktu tempatan.
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.