ad

Kejohanan SUKSES pemangkin pembangunan akar umbi, lonjak potensi atlet muda

5 Okt 2025, 1:02 PM

KLANG, 5 OKT: Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) yang memasuki edisi ke-15 telah memperkukuhkan pembangunan bakat akar umbi serta semangat kesukanan di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain menjadi medan persaingan sihat antara atlet dari seluruh daerah, kejohanan dwitahunan itu menjadi medan terbaik bagi atlet muda menguji keupayaan.

"Edisi kali ini turut mengekalkan format pertandingan sukan yang bakal dipertandingkan di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA), selaras dengan usaha menyediakan platform persediaan dan pendedahan awal kepada atlet Selangor.

“Bakat muda yang kita miliki ini seharusnya dibimbing, diasah dan dididik dengan segala kepakaran yang ada untuk meraih kecemerlangan yang membanggakan,” katanya melalui teks ucapan yang dibacakan oleh EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi.

Pada masa sama, Amirudin turut menyatakan keyakinan Kejohanan SUKSES akan menjadi penggerak utama ke arah menyemarakkan proses pembangunan sukan yang berasaskan kepada tapak yang kukuh secara berterusan.

Majlis Sukan Daerah (MSD) Petaling merangkul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) 2025 edisi ke-15 selepas meraih 42 pingat emas, 28 perak dan 21 gangsa.

Tuan rumah, MSD Klang pula muncul naib juara dengan 21 emas, 26 perak dan 26 gangsa, manakala tempat ketiga menjadi milik MSD Sepang yang mengutip 14 pingat emas, 16 perak serta 16 gangsa.

Sementara itu, atlet MSD Kuala Selangor Muhamad Daniel Haqiem Azman dan atlet MSD Petaling Sasha Alyssa Philip, masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan serta Olahragawati SUKSES 2025.

Sebanyak 11 jenis sukan dipertandingkan iaitu boling padang, taekwondo, sepak takraw, bola jaring, ragbi, pencak silat, olahraga, bola keranjang, bola tampar, memanah dan ping pong merangkumi 121 acara dengan 401 pingat ditawarkan pada kejohanan.