ad

Petaling juara keseluruhan SUKSES 2025

5 Okt 2025, 11:37 AM
Petaling juara keseluruhan SUKSES 2025
Petaling juara keseluruhan SUKSES 2025
Petaling juara keseluruhan SUKSES 2025
Petaling juara keseluruhan SUKSES 2025

KLANG, 5 OKT: Majlis Sukan Daerah (MSD) Petaling merangkul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) 2025 edisi ke-15 selepas meraih 42 pingat emas, 28 perak dan 21 gangsa.

Tuan rumah, MSD Klang pula muncul naib juara dengan 21 emas, 26 perak dan 26 gangsa, manakala tempat ketiga menjadi milik MSD Sepang yang mengutip 14 pingat emas, 16 perak serta 16 gangsa.

Sementara itu, atlet MSD Kuala Selangor Muhamad Daniel Haqiem Azman dan atlet MSD Petaling Sasha Alyssa Philip, masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan serta Olahragawati SUKSES 2025.

Muhamad Daniel dan Sasha membawa pulang wang tunai RM1,000 dan trofi.

Muhamad Daniel memenangi dua pingat emas dan memecah rekod kejohanan dalam acara larian 200 meter dan 400 meter. Beliau juga membawa pulang dua pingat perak untuk acara 4x400 meter kategori campuran serta 4x400 meter kategori lelaki.

Sasha pula meraih tiga pingat emas dengan memecah tiga rekod kejohanan untuk acara rejam lembing, lontar cakera dan lontar peluru.

Trofi dan hadiah disampaikan EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi pada majlis penutup kejohanan di Dewan Hamzah, Majlis Bandaraya Diraja Klang di sini, hari ini.

Kejohanan dwitahunan yang berlangsung pada 17 September hingga 5 Oktober melibatkan lebih 2,300 atlet dari seluruh sembilan daerah di Selangor.

Sebanyak 11 jenis sukan dipertandingkan iaitu boling padang, taekwondo, sepak takraw, bola jaring, ragbi, pencak silat, olahraga, bola keranjang, bola tampar, memanah dan ping pong merangkumi 121 acara dengan 401 pingat ditawarkan pada kejohanan.