ad

Perkukuh sektor agro makanan, 15 pengusaha di Kuala Langat terima insentif pertanian RM2.92 juta

5 Okt 2025, 10:08 AM
Perkukuh sektor agro makanan, 15 pengusaha di Kuala Langat terima insentif pertanian RM2.92 juta
Perkukuh sektor agro makanan, 15 pengusaha di Kuala Langat terima insentif pertanian RM2.92 juta

BANTING, 5 OKT: Seramai 15 pengusaha individu dan kelompok di Kuala Langat menerima insentif pertanian bernilai RM2.92 juta menerusi Projek Pembangunan Jabatan Pertanian Negeri Selangor bagi memperkukuh sektor agro makanan.

Insentif disampaikan Yang Dimuliakan Tengku Dato’ Mohamed Tengku Harun pada program Selangor Agro Green Kuala Langat 2025 di Pantai Kelanang, sekali gus mengiktiraf sumbangan petani yang gigih meningkatkan produktiviti dan menggunakan teknologi moden.

Antara penerima ialah Tinase Suppiah, 39, yang mengusahakan tanaman bawang ros dan bawang besar di atas tanah seluas enam hektar di Banting dan Kerling.

Penerima insentif pertanian, Tinase Suppiah. Foto NAZLI IBRAHIM/SELANGORKINI

Berbekalkan pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang pertanian, Tinase kini mampu menghasilkan 72 tan bawang setahun, hasil tiga pusingan tanaman.

Katanya, bantuan insentif berjumlah RM100,000 daripada Jabatan Pertanian membolehkan beliau meluaskan kawasan tanaman daripada dua kepada enam hektar serta membangunkan sistem Internet Kebendaan (IoT) bagi mengawal pembajaan dan pengairan secara automatik.

“Insentif ini sangat membantu. Dengan sistem IoT, kerja lebih mudah dan tak perlu bergantung kepada tenaga kerja ramai. Produktiviti pun meningkat,” katanya.

Penerima insentif pertanian, Mohd Hazizi Kusni. Foto NAZLI IBRAHIM/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Mohd Hazizi Kusni, 39, yang mengusahakan tanaman cili fertigasi di Kampung Melayu Pulau Carey, menerima insentif berjumlah RM91,800 untuk menambah baik kemudahan kebun termasuk struktur para tanaman bagi 4,000 pokok cili.

Mengusahakan tanaman sejak 2007, beliau kini menikmati pendapatan bersih antara RM20,000 hingga RM30,000 dan kadangkala mencecah RM50,000 bagi satu pusingan tuaian.

“Sebelum ini saya tanam di bawah, sakit pinggang semua. Sekarang bila naikkan para dan guna teknologi fertigasi, hasil lebih baik dan kerja pun mudah,” katanya yang berterima kasih kepada Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kuala Langat atas bimbingan berterusan.

Penerima insentif pertanian, Saimin Samad. Foto NAZLI IBRAHIM/SELANGORKINI

Turut menerima bantuan ialah Projek Kelompok Kanchong Tengah yang diketuai pengerusinya, Saimin Samad, 65, dengan insentif bernilai RM1.15 juta melibatkan 37 ahli di kawasan seluas 100 ekar.

Projek yang bermula sejak 1986 itu mengusahkan tanaman kontan seperti ubi, pisang, serai, lengkuas dan halia secara berkelompok serta dilengkapi kemudahan infrastruktur dan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian.

Tidak sangka bakal diberi insentif, beliau berkata, akan digunakan untuk menambahbaik infrastruktur tanah pertanian kelompok itu.

“Jabatan Pertanian di bawah Kerajaan Madani amat prihatin dengan golongan petani. Insentif ini melegakan kami dan akan digunakan sebaik mungkin,” katanya.