KUALA LUMPUR, 5 OKT: Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) kini bersedia sehingga 80 peratus bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.
Naib Presiden KEADILAN Dato’ Seri Amirudin Shari berkata HARAPAN bersama seluruh pasukan sudah melakukan persediaan sejak empat bulan lalu, termasuk menambah baik strategi kempen.
“Kita berikan masa yang terbaik kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk menetapkan tarikh, selepas itu kita ada ruang untuk memuktamadkan perbincangan dengan pihak terbabit supaya suara rakyat Sabah dapat disambung ke Putrajaya.
“Untuk KEADILAN, (jentera) kita sudah di tahap 70 hingga 80 peratus, cuma kita perlu kemaskan strategi dan naratif dalam kempen akan datang,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Makan Malam Amal Jubli Perak Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) di Hotel Le Quadri di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pembahagian kerusi bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum dimuktamadkan dan dijangka selesai sepenuhnya sebelum proses penamaan calon.
“Agihan perlu beberapa lagi siri perbincangan tetapi hampir selesai sepenuhnya. Saya percaya sebelum penamaan calon kita boleh muktamadkan,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijadual terbubar secara automatik pada 11 November bagi memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17.
Media tempatan semalam melaporkan Hajiji dijangka membuat pengumuman rasmi pembubaran DUN pada Isnin ini selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman.