ad

MB: Pendidikan kunci kemajuan, Selangor fokus lahir sumber manusia berdaya tahan

4 Okt 2025, 11:52 PM
MB: Pendidikan kunci kemajuan, Selangor fokus lahir sumber manusia berdaya tahan
MB: Pendidikan kunci kemajuan, Selangor fokus lahir sumber manusia berdaya tahan
MB: Pendidikan kunci kemajuan, Selangor fokus lahir sumber manusia berdaya tahan

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Kemajuan ekonomi Selangor merupakan hasil keupayaan Kerajaan Negeri membangunkan sumber manusia, susulan pertambahan migrasi yang diterima saban tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tumpuan Kerajaan Selangor ketika ini adalah memperkukuh serta menyedia sumber manusia yang berdaya tahan bagi mendepani cabaran semasa.

“Kita tiada hasil galian tetapi Selangor satu-satunya negeri yang terus terima migran penduduk sejak 1970-an. Dalam tempoh 10 tahun, pertambahan penduduk kita sebanyak dua juta.

“Di Selangor, kita ada lebih 100 institut pengajian tinggi dengan lebih 30,000 graduan setiap tahun. Ini menunjukkan kekuatan kita adalah sumber manusia yang mampu menyumbang hasil ekonomi.

“Tetapi kita mesti mampu lahirkan manusia yang tahan uji dan untuk itu, pendidikan adalah kunci utama bagi melahirkan sumber manusia yang terus berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal Jubli Perak Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) di Hotel Le Quadri di sini, malam tadi.

Majlis yang menghimpunkan kira-kira 100 alumni, guru serta bekas guru itu turut dihadiri EXCO Keusahawanan Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Ashaaree selaku alumni SEMASHUR.

Dalam majlis berkenaan, Amirudin turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM25,000 kepada SEMASHUR sebagai simbolik angka ulang tahun jubli perak.

Ahli Parlimen Gombak itu berharap, dana tersebut dapat digunakan bagi tujuan memperkukuh institusi pendidikan sekali gus melahirkan sumber manusia berdaya tahan seperti yang diharapkan.

“Saya percaya SEMASHUR perlu kekalkan keutuhan sains tetapi juga cara berfikir secara saintifik dan logik yang semakin tenggelam, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

“Perhimpunan 25 tahun ini bukan sahaja mengenang memori, sewajarnya kita berfikir ke hadapan. Bukan setakat sumbangan wang, tetapi juga sumbangan lain yang lebih baik,” katanya.