ad

Selangor kuasai pelancongan perubatan negara, sasaran jadi hab utama Asia Tenggara

6 Okt 2025, 12:00 AM
Selangor kuasai pelancongan perubatan negara, sasaran jadi hab utama Asia Tenggara

SHAH ALAM, 6 OKT: Selangor kini muncul sebagai kuasa besar pelancongan perubatan negara berikutan kewujudan hospital bertaraf dunia, sokongan padu Kerajaan Negeri serta pelbagai tawaran rawatan kesihatan.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata matlamat negeri jelas iaitu menjadikan Selangor destinasi utama pelancongan kesihatan di rantau ini.

“Selangor memiliki banyak hospital swasta dan pusat pakar yang diiktiraf antarabangsa, menawarkan rawatan bertaraf dunia pada kos berpatutan.

“Pada masa sama, pelancong kesihatan turut menikmati pengalaman pelancongan holistik merangkumi pusat rawatan, destinasi rekreasi dan tarikan budaya,” katanya kepada Media Selangor.

Suee Lim menjelaskan, setakat ini, Selangor mempunyai 60 hospital swasta berteknologi terkini serta tenaga profesional bertauliah antarabangsa dengan kepakaran dalam kardiologi, ortopedik, kesuburan (IVF), onkologi dan perubatan umum.

Katanya, tumpuan kemudahan kesihatan bertaraf tinggi ini digabungkan dengan kemudahan akses KLIA menjadikan Selangor mudah dikunjungi pesakit antarabangsa.

Sementara itu, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) mengakui kekuatan Selangor terletak pada rangkaian hospital ternama termasuk Sunway Medical Centre, Subang Jaya Medical Centre, KPJ Healthcare serta Alpha IVF and Women’s Specialists.

Badan itu turut memaklumkan promosi aktif serantau berjaya melonjakkan profil negeri.

“Contohnya pada MHExpo Selangor Week 2024 di Surabaya, 10 hospital dari Selangor menyertai kempen MedTravel Selangor hingga menarik hampir seribu pengunjung dan liputan media meluas di Indonesia.

“Momentum ini diteruskan pada Malaysia Healthcare Expo 2025 di Makassar, Jun lalu dengan penyertaan 17 hospital termasuk tujuh dari Selangor yang berjaya berinteraksi dengan hampir 2,800 pengunjung,” katanya dalam jawapan e-mel kepada Media Selangor.

Menurut MHTC, Selangor berpotensi besar memacu peralihan Malaysia daripada destinasi berasaskan kos kepada hab berkualiti dan inovasi, khususnya dalam teknologi perubatan, robotik, kecerdasan buatan dan kesihatan digital.

Kedua-dua pihak bersetuju bahawa pelancongan perubatan bakal menjadi pemacu penting ekonomi Selangor apabila pelancong kesihatan bukan sahaja membelanjakan wang untuk rawatan malah turut menyumbang kepada sektor hotel, makanan dan minuman, runcit serta pelancongan kesihatan.

Pada Februari lalu, MHTC memaklumkan Lembah Klang sudah mengatasi Pulau Pinang sebagai hab utama pelancongan perubatan negara dengan menarik 560,700 pesakit antarabangsa antara Januari hingga November 2024, berbanding 490,000 pada 2019. Angka itu menjana pendapatan sekitar RM886 juta.

Kini, rantau tengah menyumbang 44.5 peratus pelancong kesihatan negara dan 41.6 peratus pendapatan keseluruhan.

Rawatan kesuburan jadi tarikan utama

Data MHTC menunjukkan rawatan kesuburan kini menjadi pilihan paling tinggi di Selangor, mengatasi pemeriksaan kesihatan. Permintaan tinggi untuk IVF dan teknologi reproduktif lain melonjakkan peluang strategik dalam pakej kesihatan antarabangsa.

Selain itu, rawatan barah, gastroenterologi dan penyakit berjangkit turut menjadi tumpuan pelancong kesihatan.

“Rawatan kesuburan kini tarikan utama, mencerminkan peluang besar untuk mempromosikan pakej kesihatan reproduktif. Lonjakan ini dipacu kualiti tinggi serta kos berpatutan di Malaysia,” kata MHTC.

Bagaimanapun, pemeriksaan kesihatan asas kekal penting sebagai pintu masuk kepada rawatan lanjut.

Pasaran emas: Indonesia

Menurut Suee Lim, Indonesia kekal sebagai pasaran terbesar pelancongan perubatan Selangor berikutan hubungan budaya rapat, kedekatan geografi dan penerbangan yang baik.

MHTC merekodkan 284,814 pelancong kesihatan Indonesia ke Selangor tahun lalu dengan hasil RM474.7 juta, selain pasaran utama lain iaitu Bangladesh, India, China dan Filipina.

Bagi merebut pasaran ini, Selangor melancarkan kempen khas di republik tersebut termasuk ‘Liburan Sehat Ya Di Selangor Aja!’.

“Kami percaya potensi masih luas dengan promosi tersasar, kerjasama hospital serta ejen pelancongan di Indonesia,” katanya.

Selangor menyasar pertumbuhan tiga hingga lima peratus ketibaan pelancong kesihatan dari Indonesia antara 2025 hingga 2026.

Selain itu, kempen MedTravel Selangor turut memanfaatkan platform digital serta kolaborasi bersama pempengaruh Indonesia untuk menonjolkan hospital dan pusat kesihatan negeri ini.