ad

Undangan Trump atas kapasiti Pengerusi Asean, bukan hubungan dua hala

4 Okt 2025, 1:33 PM
Undangan Trump atas kapasiti Pengerusi Asean, bukan hubungan dua hala

SHAH ALAM, 4 OKT: Undangan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bukan dibuat atas jemputan dua hala, sebaliknya atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi Asean.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia sebagai Pengerusi Asean bertanggungjawab menjemput semua ketua negara bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 pada 27 dan 28 Oktober ini.

"Malaysia hanyalah tuan rumah, sedangkan persidangan ini adalah program rasmi Asean bukannya program Malaysia semata-mata.

“Maka, semua ketua negara rakan dialog dijemput dan jika mereka memilih untuk hadir, tidak wajar pula kita menolak kehadiran mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi Sumud Flotilla (SNCC), hari ini.

Tambahnya, selaku Pengerusi Asean tahun ini, Malaysia menjemput semua ketua negara yang berkaitan, malah tidak wajar untuk memilih atau mengecualikan mana-mana pihak kerana ia bukan satu amalan diplomatik yang baik.

Mohamad Hasan berkata demikian apabila terdapat beberapa pihak yang menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat itu ke Malaysia pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 Oktober ini.

Bantahan tersebut disuarakan berikutan dasar luar negara itu terhadap isu penindasan rakyat Palestin.