ad

DUN Sabah dijangka bubar Isnin, lapor media

4 Okt 2025, 2:52 AM
DUN Sabah dijangka bubar Isnin, lapor media

SHAH ALAM, 4 OKT: Dewan Undangan Negeri Sabah dijangka bubar pada Isnin depan dan akan diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, lapor The Star yang memetik sumber pemimpin kanan negeri.

Ini berlaku selepas pengumuman pembubaran tidak terjadi semalam selepas mesyuarat Kabinet negeri, dipercayai, pengunduran Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah diketuai Datuk Seri Dr Jeffery Kitigan dan Parti Progresif Sabah (SAPP) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyebabkan penangguhan pengumuman bubar.

Hajiji yang mengetuai kerajaan GRS-Pakatan Harapan dikatakan mahu mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-17 itu seberapa segara kerana wujud kekaburan perundangan tentang tarikh sebenar pembubaran automatik DUN. Beliau juga dikhabarkan sudah meminta perkenan Yang DiPertua Negeri Tun Musa Aman untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya.

Bagaimanapun, sumber akhbar The Star yang tidak mahu dinamakan, enggan mengesahkan kebarangkalian yang isu kekaburan perundangan tarikh sebenar pembubaran automatik DUN mendorong tindakan Hajiji.

Sebelum ini, Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim Yahya berkata penggal lima tahun DUN akan berakhir pada 11 November kerana "persidangan pertama" DUN ke-16 berlaku pada 12 November 2020.

Bagaimanapun, selepas pilihan raya negeri mengejut yang berlaku pada 26 September 2020, satu sidang khas juga diadakan pada 9 Oktober 2020 ketika perintah kawalan pergerakan (MCO) disebabkan wabak COVID-19, yang menjadikan tarikh akhir DUN sepatutnya jatuh pada Khamis minggu hadapan.

Kadzim menjelaskan yang sidang 9 Okt adalah hanya untuk upacara angkat sumpah Adun baharu dan tidak boleh dianggap sebagai hari pertama sidang DUN Sabah.

Perbezaan tarikh ini menyebabkan wujud kekaburan perundangan kerana Perlembagaan Negeri tidak mempunyai tafsiran jelas tentang sidang pertama DUN.

Kekaburan perundangan ini mencetuskan kritikan di media sosial, memaksa Pejabat Ketua Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa sidang media pembubaran akan diadakan pada masa sewajarnya.

Pada PRN 2020 yang diadakan secara mengejut, gabungan sementara Perikatan Nasional (PN) Sabah diketuai Hajiji, Barisan Nasional (BN) Sabah diterajui Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menumbangkan kerajaan Warisan-Pakatan Harapan dikemudi Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Gabungan sementara itu kemudiannya didaftarkan secara rasmi pada awal 2022, dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum 2022 yang berlaku pada November yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan, Hajiji dan semua Adun Bersatu keluar daripada PN untuk membentuk Parti Gagasan Rakyat Sabah.

Bung kemudiannya menarik sokongan BN-Umno Sabah daripada kerajaan Hajiji pada Januari 2023. Kerajaan Hajiji bagaimanapun tidak tumbang disebabkan Pakatan Sabah menyertai GRS.

Ketika ini, GRS mempunyai 42 Adun, BN Sabah (12 termasuk dua Adun digantung tugas), Warisan (14), Pakatan (7), Parti KDM (2), dan PAS (1).

Kerusi Sungai Sibuga yang dipegang Umno sebelum ini masih kosong susulan kematian penyandangnya, Mohamad Hamsan Awang Supain.