SHAH ALAM, 4 OKT: Kira-kira 64.7 peratus kes influenza di Selangor berpunca daripada institusi pendidikan termasuk pra sekolah sehingga institut pengajian tinggi, kata EXCO Kesihatan Awam.
Jamaliah Jamaluddin memaklumkan, namun Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melalui pejabat kesihatan daerah sentiasa memantau situasi dan melaksana aktiviti penilaian risiko wabak berkenaan di lapangan.
“Arahan penutupan kelas atau sekolah hanya ditentukan pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri berdasarkan cadangan Pejabat Kesihatan Daerah setelah penilaian risiko dilakukan,” katanya kepada Media Selangor.
Sehingga kini terdapat 88 lokasi wabak dikesan sejak minggu epidemik (ME) pertama (8 Mac) hingga ME 39 (27 September) dengan secara puratanya tiga lokasi wabak dikesan berlaku setiap minggu.
Kes influenza pula meningkat naik lebih 80 peratus iaitu 602 kes pada minggu 20 September kepada 1,128 kes pada minggu 27 September.
Jamaliah berkata lagi, untuk mengatasi wabak influenza, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa kesihatan melaksanakan program vaksinasi influenza secara percuma sejak Februari tahun ini.
Menurutnya, ia khusus untuk warga emas dengan satu atau lebih penyakit kronik termasuk diabetes, penyakit respirator, jantung, obesiti, hipertensi, dislipidemia atau penyakit buah pinggang kronik.
“Vaksin ini boleh didapati secara percuma di 82 fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh Selangor. Namun begitu, bagi golongan masyarakat yang tidak termasuk dalam kumpulan ini disarankan untuk mendapatkan vaksin influenza di fasiliti kesihatan swasta.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta jika mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan,” katanya.