Baru berusia tujuh tahun, Diyaz Ayden Muhammad Dzarfan (tengah) sudah membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
Murid Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik, Shah Alam ini muncul juara Kejohanan Catur Sekolah Asian Zon 3.3 di Jakarta, Indonesia hujung Ogos lalu.
Lebih manis, dia berjaya menewaskan pemain handalan dari Indonesia, Myanmar dan Hong Kong yang jauh lebih berpengalaman.
Kejayaan sulung di pentas dunia itu menjadi permulaan kepada perjalanan yang lebih besar buat anak kedua daripada tiga beradik ini.
Minat luar biasa
Ibunya, Azima Ahmad Zahdi, 34, menceritakan minat mendalam Diyaz Ayden terhadap catur bukan sekadar mengejar gelaran.
Dia sanggup duduk dua hingga tiga jam di depan papan catur tanpa rasa letih, sesuatu yang jarang dilihat pada kanak-kanak seusianya.
“Betul, saya dan suami sangat terkejut melihat potensi Diyaz Ayden. Untuk anak sekecil itu, dia mampu bertahan lebih dua jam. Tanpa penat. Muka dia sangat teruja waktu bermain, saya tidak nampak dia bosan.
“Bila ditanya Diyaz Ayden okey ke? Tak bosan ke? Dia kata dia seronok berfikir. Dia betul-betul minat,” katanya.
Dalam kategori klasik, setiap perlawanan boleh berlangsung dua hingga tiga jam, dengan masa standard 60 minit ditambah 15 minit setiap langkah.
Fokus konsisten menjadi kunci prestasi luar biasa Diyaz Ayden.

“Bagi setiap perlawanan, Diyaz Ayden akan catat setiap pergerakan yang dibuat. Dia bukan menghafal tetapi menganalisis. Setiap permainan, strateginya berbeza,” jelas Azima.
Langkah ke papan catur
Bakat Diyaz Ayden dikesan seawal usia tiga tahun. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan tahun 2020, dia mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Namun di sebalik kekangan itu, dia mampu membaca pada usia empat tahun, malah mengingati kesemua bendera negara.
Ketika itulah bapanya, Muhammad Dzarfan, 36, seorang jurutera, mula memperkenalkan catur sebagai permainan minda.
Diyaz Ayden cepat jatuh cinta, malah menangis jika terlepas kelas di Kelab Young Chess Masters.
Walaupun catur menjadi keutamaan, jadual harian Diyaz Ayden tetap seimbang dengan aktiviti lain termasuk tenis, renang, tuisyen matematik, kelas melukis dan mengaji.
“Kami pastikan dia ada masa bermain dan rehat. Bukan setiap minggu ada kejohanan. Bila ada masa lapang, kami beri ruang untuk dia jadi budak biasa,” kata Azima.
Menuju Mongolia
Berkat kemenangan di Indonesia, Diyaz Ayden bakal mewakili negara ke Kejohanan Sekolah-Sekolah Asia di Mongolia bulan ini.

Namun Azima yang juga pengurus di sebuah firma audit, enggan menaruh harapan terlalu tinggi.
“Sejak dari dia bertanding di Indonesia, kami sekeluarga tidak mahu menekan Diyaz Ayden. Pengalamannya bertarung dan membawa nama Malaysia sudah cukup membuat saya tersenyum,” ujarnya.
Azima turut menitip pesanan kepada ibu bapa lain agar peka terhadap minat anak-anak.
“Catur, bola, melukis atau apa sahaja, jika anak minat, kita kena bantu. Memang penat, tapi inilah masa depan mereka. Minat itu perlu dipupuk dan diasah,” ujarnya.
Setiap langkah Diyaz Ayden di atas papan catur kini bukan sekadar gerakan strategi, tetapi kisah tentang ketekunan, sokongan keluarga dan mimpi besar seorang anak kecil yang berjiwa besar.