ad

Sesi pendengaran awam 15 Oktober ini, bincang isu banjir Klang

3 Okt 2025, 7:47 AM
Sesi pendengaran awam 15 Oktober ini, bincang isu banjir Klang

SHAH ALAM, 3 OKT: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan mengadakan sesi pendengaran awam pada 15 Oktober ini bagi meneliti perkembangan terkini usaha menangani masalah banjir di Klang.

Pengerusinya Lau Weng San berkata sesi tersebut berlangsung pada jam 10 pagi hingga 5 petang di Bilik Gerakan, Tingkat Dua, Wisma Dewan Negeri Selangor (DNS) dan turut disiarkan secara langsung menerusi platform Media Selangor.

“Sesi ini bertujuan menyiasat punca sebenar kejadian banjir berulang di Klang, serta menilai peranan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang dalam usaha mengatasinya.

“Selain itu, pendengaran awam ini juga membincangkan peranan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang, khususnya dalam aspek bantuan banjir, pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), penyediaan bot penyelamat, aset dan aspek lain berkaitan kesiapsiagaan serta tindak balas bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung sesi pendengaran awam itu yang diadakan di Wisma DNS hari ini.

Menurut Weng San, keputusan mengadakan sesi tersebut dibuat susulan beberapa siri banjir yang berlaku di Klang tahun ini, serta hasil maklum balas yang dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor Februari lalu.

“Selepas meneliti semua aspek, SELCAT bersetuju untuk mengadakan pendengaran awam ini bagi memberi ruang kepada penduduk kawasan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang masih trauma akibat banjir berulang menyuarakan kebimbangan mereka.

“Kebimbangan ini wajar diberi perhatian serius dan memerlukan tindakan bersepadu daripada semua agensi yang berkaitan,” jelasnya.

Antara saksi yang akan dipanggil memberi keterangan termasuk Pegawai Daerah Klang, Pengarah JPS Klang, serta wakil daripada MBDK.