Hak berhimpun dijamin, tapi mesti patuh undang-undang – KDN

3 Okt 2025, 5:14 AM
Hak berhimpun dijamin, tapi mesti patuh undang-undang – KDN
Hak berhimpun dijamin, tapi mesti patuh undang-undang – KDN

SHAH ALAM, 3 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan hak berhimpun secara aman sememangnya dijamin Perlembagaan Persekutuan, namun ia mesti dilaksanakan dengan tertib serta mematuhi undang-undang.

Dalam kenyataan, kementerian itu memandang serius insiden tular di media sosial membabitkan cubaan menghalang anggota polis yang bertugas mengawal perhimpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kuala Lumpur.

Menurut KDN, pihaknya menyokong penuh tindakan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak berlandaskan undang-undang demi menjamin keselamatan dan ketenteraman negara.

“Keadaan menjadi tegang apabila terdapat cubaan menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak sehingga menimbulkan kekecohan. Seorang anggota polis turut cedera ketika menjalankan tugas.

“Susulan itu, dua lelaki tempatan berusia 23 dan 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

KDN menambah pihaknya melalui PDRM sentiasa bersedia memberi kerjasama keselamatan kepada mana-mana penganjur yang mahu mengadakan perhimpunan secara aman.

“Namun pada masa sama, tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang cuba menjejaskan keselamatan, mengganggu ketenteraman awam atau melanggar undang-undang,” jelas kenyataan itu.