KUALA LUMPUR, 2 OKT: Misi kemanusiaan gabungan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) yang kini berada di perairan antarabangsa berdekatan Greece, bertekad meneruskan pelayaran menuju ke Gaza, meskipun berisiko disabotaj tentera Israel seperti yang telah dilakukan terhadap Global Sumud Flotilla (GSF).
Seorang sukarelawan Malaysia yang menyertai FFC x TMTG Prof Dr Mohd Afandi Salleh berkata semangat setiap aktivis bagi misi kemanusiaan itu, tidak akan luntur untuk cubaan menebus kepungan Israel ke atas Gaza, di perairan antarabangsa.
Beliau berkata gabungan misi kemanusiaan yang membawa bekalan makanan serta ubat-ubatan kepada penduduk Gaza itu, dijangka tiba di wilayah berkenaan dalam tempoh tiga hari.
“Kami rasakan ini merupakan gelombang yang harus kami lakukan dan teruskan untuk menunjukkan kepada dunia kezaliman Israel menangkap aktivis kemanusiaan di laut antarabangsa,” katanya menerusi panggilan video dalam siaran Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV, hari ini.
Mohd Afandi merupakan antara lapan sukarelawan rakyat Malaysia menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di bawah gabungan FFC x TMTG, dengan menaiki kapal Conscience milik FFC diketuai Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali.
Turut serta Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, selain wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, pensyarah Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar.
Mohd Afandi berkata antara risiko dijangka berlaku apabila kapal memasuki zon merah ialah kemungkinan besar komunikasi antara kapal dan dunia luar akan diputuskan oleh tentera Israel, sebagaimana yang pernah berlaku dalam misi terdahulu.
Beliau berkata ketika ini, sistem komunikasi seperti Starlink digunakan di atas kapal, bagi memastikan aktivis dapat menyalurkan maklumat secara langsung sepanjang pelayaran menerusi pelbagai platform media sosial.
Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) hari ini memaklumkan sebanyak 15 sukarelawan kemanusiaan GSF rakyat Malaysia, disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal yang mereka naiki dipintas, sementara lima lagi rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan pusat kawalan berkenaan.
Mohd Afandi menyifatkan tindakan Israel itu sebagai bukti bahawa rejim Zionis tidak hanya menindas penduduk Gaza, tetapi turut menzalimi aktivis kemanusiaan antarabangsa.
Justeru, beliau menggesa kerajaan-kerajaan di seluruh dunia supaya mengambil tindakan diplomatik yang tegas terhadap Israel, dan mendesak pembebasan segera semua aktivis kemanusiaan yang ditahan.
“Seperti rakyat di negara Eropah yang bangkit mendesak supaya negara mereka ambil tindakan diplomatik dan politik terhadap Israel, kerana semua flotila ini adalah misi kemanusiaan membawa ubat-ubatan dan bekalan makanan serta minuman,” katanya.