ad

Anfaal: Hapus 'motherhood penalty', wanita mampu sumbang kepada negara

2 Okt 2025, 2:00 PM
Anfaal: Hapus 'motherhood penalty', wanita mampu sumbang kepada negara
Anfaal: Hapus 'motherhood penalty', wanita mampu sumbang kepada negara
Anfaal: Hapus 'motherhood penalty', wanita mampu sumbang kepada negara

SHAH ALAM, 2 OKT: Wanita tidak seharusnya diketepikan hanya kerana tanggungjawab sebagai ibu atau isteri, sebaliknya mereka mampu memberi sumbangan besar dalam masyarakat dan negara.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga, Anfaal Saari berkata wanita sering berdepan keadaan dipanggil motherhood penalty, iaitu peluang mereka dalam kehidupan awam terhad selepas berkahwin atau mempunyai anak.

“Wanita tidak seharusnya dianggap berada pada kedudukan yang lebih rendah hanya kerana mereka telah berkahwin atau mempunyai anak. Kita tidak mahu mereka rasa terbatas untuk tampil berani dan menyumbang secara adil kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penglibatan aktivis wanita dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini, yang turut ditahan tentera Israel.

Anfaal menambah, sejarah memperlihatkan ramai tokoh wanita berani, antaranya Razan al-Najjar, Shireen Abu Akleh, Rachel Corrie serta pejuang Islam seperti Sayyidatina Khadijah, Sayyidatina Aisyah dan Nusaybah Ka‘ab.

“Peranan mereka membuktikan wanita bukan hanya pendamping, tetapi pemimpin dan pelindung masyarakat,” katanya lagi.

Terdahulu, Anfaal hadir ke Seminar Wanita Berdaya anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Seminar Wanita Berdaya bertemakan “Wanita Berdaya, Citra Bangsa Berdaya” menghimpunkan wanita daripada agensi negeri, pendidik, NGO serta wakil komuniti untuk membincangkan pemerkasaan dan memperkukuh peranan wanita dalam masyarakat.

Anfaal berkata program itu sangat tepat pada masanya kerana wanita masih berdepan cabaran untuk mengimbangi aktivisme dengan komitmen peribadi dan keluarga.

“Usaha memberi pencerahan kepada wanita melalui ilmu dan isu semasa amat penting. Dengan sokongan yang betul, wanita mampu berdiri seiring dengan lelaki untuk membentuk sebuah masyarakat progresif,” katanya.