ad

Isu roboh surau lama: Polis terima tiga laporan terhadap Rafidah Ibrahim

2 Okt 2025, 12:47 PM
Isu roboh surau lama: Polis terima tiga laporan terhadap Rafidah Ibrahim

IPOH, 2 OKT: Polis menerima tiga laporan melibatkan aktivis dan pelakon Rafidah Ibrahim yang cuba membangkitkan sentimen kebencian rakyat kepada kerajaan berhubung isu surau lama di Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh, Mukim Hulu Kinta.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata kesemua laporan itu dilakukan oleh pelbagai pihak di daerah Ipoh semalam.

“Ada tiga laporan (polis) tetapi (polis) belum panggil (Rafidah Ibrahim) untuk dirakam keterangan,” katanya selepas majlis meraikan 115 pesara dan bakal pesara Polis Kontinjen Perak Tahun 2025 di Mes Pegawai Kanan Polis di Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Rafidah menerusi video pendek di media sosial mendakwa Surau al-Karamah di Pasir Puteh dekat sini bakal dirobohkan oleh pemaju perumahan untuk membina jalan raya.

Terdahulu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang dakwaan tidak tepat berhubung isu surau lama berkenaan.

Mengulas isu yang disifatkan telah ‘disensasikan’ itu, Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata bangunan yang berada di atas tanah milik pemaju swasta itu dibina tanpa sebarang permohonan dan tidak mendapat kelulusan MAIPk selaku pihak berkuasa agama negeri.

Semalam, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ipoh Timor Izzuddin Hariz dalam kenyataan berkata tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang membangkitkan semula isu rumah ibadat itu sebagai cubaan menanam sentimen kebencian rakyat kepada kerajaan.