ad

GSF: Tiga tuntutan dikemuka, himpunan solidariti diteruskan esok

2 Okt 2025, 11:04 AM
GSF: Tiga tuntutan dikemuka, himpunan solidariti diteruskan esok
GSF: Tiga tuntutan dikemuka, himpunan solidariti diteruskan esok
GSF: Tiga tuntutan dikemuka, himpunan solidariti diteruskan esok
GSF: Tiga tuntutan dikemuka, himpunan solidariti diteruskan esok

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Himpunan solidariti membantah penahanan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera Israel akan diteruskan esok selepas solat Jumaat di Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Jalan Tun Razak.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Muhammad Kamil Abdul Munim berkata ribuan peserta hari ini berarak secara aman ke kedutaan tersebut sebelum menyerahkan memorandum bantahan mengandungi tiga tuntutan utama.

Menurut beliau, tuntutan itu antaranya mendesak pembebasan segera aktivis yang ditahan rejim Zionis, jaminan keselamatan kepada sukarelawan serta penolakan cadangan pembangunan semula Gaza oleh Presiden AS Donald Trump yang didakwa menafikan hak rakyat Palestin.

“Alhamdulillah kita berjaya sampai ke sini, namun wakil kedutaan enggan keluar menerima memorandum dan kita tinggalkan di meja pengawal atas alasan keselamatan.

“Saya nak tegaskan, yang datang hari ini bukanlah tentera Israel yang tidak bermoral. Kita rakyat Malaysia hadir dengan aman untuk nyatakan dukacita dan bantahan. Esok selepas Jumaat kita akan berkumpul lagi di sini meneruskan tuntutan ini,” katanya.

Peserta yang mula berhimpun sejak jam 2 petang melaungkan slogan ‘Free Palestine’, ‘Hancur Israel’ dan ‘Bebas Sumud Flotilla’ sambil membawa bendera Palestin serta sepanduk bertulis #breaktheseige #stand4sumud #freepalestine. Kenderaan yang melalui kawasan berkenaan turut membunyikan hon tanda sokongan.

Turut serta dalam perhimpunan tersebut, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa G Gunaraj, ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman dan ADN Kota Damansara Izuan Kasim.

Menurut Gunaraj, penyertaan pelbagai kaum dalam himpunan itu membuktikan isu Palestin adalah soal kemanusiaan, bukan semata-mata agama.

“Ini soal kemanusiaan, bayi dibunuh. Misi GSF hanya membawa bantuan, jadi beri mereka selesaikan misi membantu rakyat Palestin dan bebaskan segera sukarelawan,” tegasnya.

Sementara itu, anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Dr Maszlee Malik berkata dunia tidak boleh berdiam diri terhadap sokongan AS kepada Israel.

“Kami mahu dunia menentang genosid. Kepada generasi muda AS, bangkitlah melawan pemerintahan anda yang bersekutu dengan Israel dalam membunuh anak-anak dan rakyat tidak berdosa di Gaza,” ujarnya.

Misi GSF kali ini melibatkan 497 aktivis dari 46 negara, menjadikannya flotila kemanusiaan terbesar pernah digerakkan. Seramai 27 rakyat Malaysia turut menyertai, termasuk 23 berada di atas kapal dan empat sebagai pasukan pemantau.