ad

TERKINI GLOBAL: Israel kawal kapal ke Ashdod, aktivis dihantar pulang ke Eropah

1 Okt 2025, 9:04 PM
TERKINI GLOBAL: Israel kawal kapal ke Ashdod, aktivis dihantar pulang ke Eropah
TERKINI GLOBAL: Israel kawal kapal ke Ashdod, aktivis dihantar pulang ke Eropah
TERKINI GLOBAL: Israel kawal kapal ke Ashdod, aktivis dihantar pulang ke Eropah

8.15 malam: Israel tahan 317 aktivis, kapal dibawa ke Ashdod

Beberapa kapal dan aktivis daripada Global Sumud Flotilla, yang dirampas oleh Israel telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod (Usdud) dengan kawalan kapal tentera laut Israel di Ashdod.

Pasukan tentera laut Israel telah menyerang 21 buah kapal Global Sumud Flotilla sejak lewat malam Rabu dan menahan sekurang-kurangnya 317 aktivis di atas kapal, menurut penjejak rasmi flotila.

Para aktivis yang ditahan dibawa ke Pelabuhan Ashdod dan mereka akan dihantar pulang ke Eropah, menurut Kementerian Luar Israel.

5.30 petang: Sebanyak 40 kapal misi Global Sumud Flotilla telah dirampas rejim Israel, berbaki hanya 12 bot yang masih meneruskan pelayaran ke Gaza.

Berita dukacita itu dikongsi menerusi akaun rasmi X @GSMFlotilla.

Menurutnya, 12 kapal berkenaan sedang menuju ke perairan Gaza dengan kelajuan maksima, diekori kapal tentera Israel.

5.00 petang: Kementerian Luar Iran mengecam keganasan yang dilakukan Israel terhadap misi Global Sumud Flotilla.

Jurucakapnya, Esmaeil Baghaei berkata kekejaman itu disifatkan sebagai 'pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa dan tindakan keganasan.'

Kerajaan Iran turut memuji usaha berani aktivis kemanusiaan terbabit kerana sanggup bersolidariti dengan rakyat Palestin dan berusaha untuk memecahkan sekatan yang kejam.

4.00 petang: Sebanyak 22 kapal misi Global Sumud Flotilla masih meneruskan pelayaran ke Gaza, setakat ini.

Tangkap layar video di akaun X @GSMFlotilla

Menurut akaun rasmi X @GSMFlotilla, semua kapal terbabit berjaya mengelak daripada serangan Israel, dengan kapal yang paling hampir berada tidak sampai 10 kilometer dari perairan Gaza.

Terdahulu, Sumud Nusantara Command Center memaklumkan, tiga kapal yang membawa aktivis Malaysia masih meneruskan pelayaran iaitu Free Willy, Estrella dan Fair Lady.

Bagaimanapun, kapal Free Willy telah dipintas rejim Israel kira-kira 7.53 pagi waktu Gaza (12.53 tengahari waktu tempatan).

12.50 tengah hari: Kapal Morgana yang berada paling hampir dengan perairan Gaza telah dipintas tentera Israel, menurut media sosial rasmi Global Sumud Flotilla di Instagram.

Kapal Morgana sebelum ini dilapor berada paling hadapan iaitu kira-kira 50 kilometer daripada persisiran pantai Gaza.

Kapal berkenaan dinaiki lapan sukarelawan, dengan lima daripadanya merupakan aktivis Itali. Tiada aktivis Malaysia di dalam kapal itu.

Selain kapal Morgana, tiga lagi kapal turut dipintas tentera Israel iaitu kapal Oxygono, Seulle, dan Hio.

10.40 pagi: Kapal 'Mali' dipintas tentera Israel ketika berada kira-kira 60 kilometer dari perairan Gaza.

Status 24 anak kapal masih belum diketahui setakat ini. Difahamkan, tiada rakyat Malaysia berada di atas kapal berkenaan.

10.15 pagi: Presiden Colombia, Gustava Petro mengusir semua diplomat Israel yang masih berada di negara itu, susulan penahanan dua aktivis Colombia dalam misi Global Sumud Flotilla.

Gustava menerusi kenyataan berkata, dua aktivis berkenaan iaitu Manuela Bedoya dan Luna Barreto hanya menyertai solidariti kemanusiaan bersama Palestin.

Gustava turut menggesa Israel membebaskan dua wanita terbabit serta merta, selain mengumumkan penamatan perjanjian perdagangan bebas dengan Israel yang berlaku sejak 2020.

9.00 pagi: Sebanyak 43 daripada 52 kapal dalam misi Global Sumud Flotilla masih meneruskan pelayaran ke Gaza.

Menurut akaun rasmi X @GSMFlotilla, semua kapal terbabit berjaya mengelak daripada serangan tentera Israel, dengan kapal Morgana kini berada paling hampir dengan perairan Gaza.

“Bot Morgana telah dikenalpasti dan berada kira-kira 50 kilometer dari Gaza!,” menurut ciapan @GSMFlotilla.

Kapal layar yang menyertai Flotila Sumud Global, sebuah usaha untuk menuju ke Gaza dan mencabar sekatan laut Israel, berlayar dari pulau kecil Koufonisi di Greece pada 26 September 2025. Foto REUTERS

8.40 pagi: Rakyat Turkiye mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di Istanbul susulan tindakan tentera Israel menahan dan memintas beberapa bot Global Sumud Flotilla.

Menurut laporan agensi berita Mesir, Ahram Online, ribuan rakyat Turkiye berkumpul di hadapan kedutaan Amerika Syarikat serta kedutaan Israel bagi mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel.

Kementerian Luar Turkiye turut mengecam tindakan Israel dan menyifatkan ia sebagai tindakan keganasan yang membahayakan nyawa manusia tidak bersalah.

Orang ramai mengadakan protes di hadapan Kedutaan Israel di Barcelona selepas kapal-kapal Global Sumud Flotilla dipintas dalam perjalanan ke Gaza, di Barcelona, Sepanyol. - Foto REUTERS

8.25 pagi: Kerajaan Venezuela mengutuk sekeras-kerasnha tindakan Israel yang memintas bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menyifatkan tindakan itu sebagai 'tindakan pengecut dan lanun'.

Dalam kenyataan rasmi Menteri Luar Venezuela berkata insiden itu merupakan serangan terhadap misi awan yang bertujuan menghantar lebih 5,500 tan bantuan kepada rakyat Palestin.

“Sekatan terhadap bantuan kemanusiaan adalah alat perang yang sengaja digunakan untuk melanjutkan genosid melalui cara lain,” katanya menerusi kenyataan.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk 23 sukarelawan dari Malaysia. Misi kemanusiaan itu disifatkan sebagai simbol solidariti global terhadap rakyat Gaza.