ad

Imigresen ingatkan orang ramai elak terperdaya sindiket menyamar pegawai

2 Okt 2025, 2:08 AM
Imigresen ingatkan orang ramai elak terperdaya sindiket menyamar pegawai

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Jabatan Imigresen (JIM) menasihati orang ramai agar berwaspada dengan pihak yang menyamar sebagai pegawai agensi penguatkuasaan itu yang kononnya boleh melepaskan pendatang tanpa izin dengan bayaran tertentu.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata penipuan seumpama itu sering berlaku selepas sesuatu operasi dijalankan, apabila majikan atau penjaga pendatang tanpa izin dihubungi individu tidak dikenali yang menawarkan pelepasan dengan syarat membuat bayaran.

“Itu adalah satu bentuk penipuan. Jabatan Imigresen tidak akan melanggar undang-undang atau menerima wang bagi melepaskan tahanan.

“Jika dihubungi pihak yang mendakwa sebagai pegawai imigresen atau penguat kuasa lain, jangan berurusan melalui telefon atau mesej terutama yang melibatkan sebarang pembayaran. Sebaliknya hadir terus ke pejabat imigresen untuk mendapatkan pengesahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ops Gegar di dua premis hiburan sekitar Sri Hartamas malam tadi yang menyaksikan 41 individu ditahan, 39 daripadanya adalah warga asing dan dua lagi lelaki tempatan.

Wan Mohammed Saupee berkata hampir setiap bulan JIM mengesan cubaan penipuan berkenaan, malah ada majikan yang pernah terperdaya.

“Minggu lepas, selepas operasi di Jalan Ipoh, di sini seorang majikan hampir ditipu membayar RM32,000 namun berjaya diselamatkan selepas dia membuat semakan.

“Ada kes sebelum ini bayaran diminta antara RM5,000 bagi seorang warga asing dan mencecah hingga RM15,000 bagi tiga pekerja dengan janji kononnya tahanan boleh dilepaskan,” katanya.

Beliau berkata majikan atau penjaga yang masih berdegil menggajikan pendatang tanpa izin boleh disiasat mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen kerana melindungi mereka.

Wan Mohammed Saupee turut menggesa pendatang tanpa izin agar segera menyertai Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 yang sedang berlangsung hingga 30 April tahun depan dan tidak hanya menumpukan kepada pejabat imigresen di Kuala Lumpur atau Selangor.

“Pemohon boleh hadir ke pejabat imigresen di negeri lain seperti di utara atau pantai timur yang mungkin lebih cepat diproses berbanding Lembah Klang yang sesak,” katanya.

- BERNAMA