ad

Le Tour de Langkawi: Beberapa jalan ditutup di Selangor bermula hari ini

2 Okt 2025, 1:10 AM
Le Tour de Langkawi: Beberapa jalan ditutup di Selangor bermula hari ini

SHAH ALAM, 2 Okt: Beberapa laluan utama di lapan daerah di Selangor akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bagi memberi laluan kepada perlumbaan jelajah berbasikal Peringkat 5, 6 dan 8 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, bermula Khamis ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dalam kenyataan berkata daerah terlibat ialah Hulu Selangor, Ampang Jaya, Kajang, Shah Alam, Klang Utara, Klang Selatan, Kuala Langat dan Sepang dengan jarak keseluruhan 162 kilometer (km).

Beliau berkata penutupan jalan serta lencongan trafik akan dilaksanakan mengikut jadual dan peringkat perlumbaan serta lokasi laluan peserta.

Shazeli berkata penutupan laluan bermula dengan peringkat kelima di Hulu Selangor yang membabitkan Jalan Gap menuju Bukit Fraser dan Fraser's Hill bermula 1.49 tengah hari Khamis ini.

"Perlumbaan peringkat keenam akan diteruskan keesokan hari dengan peserta akan dilepaskan pada 9 pagi dari Dataran Kemerdekaan Shah Alam melalui Persiaran Sultan, Sri Andalas, Sijangkang, Telok Panglima Garang, Jenjarom, Sungai Manggis dan Telok Datok.

"Seterusnya peserta akan berkayuh ke Banting, Kanchong Darat, Morib, Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Sungai Pelek dan Pekan Sepang sebelum berakhir di Port Dickson," katanya.

Shazeli berkata bagi peringkat kelapan pada Ahad (3 Okt), perlumbaan melibatkan laluan dari Beranang ke Semenyih, Jalan Sungai Lalang, Sungai Tekala, Jalan Hulu Langat, Jalan Ampang sehingga ke KLCC, meliputi kawasan Kajang dan Ampang Jaya dengan penutupan jalan bermula 2.55 petang.

Beliau berkata 392 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama 235 anggota pasukan sahabat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) akan ditempatkan di sepanjang laluan bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

"Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengelakkan laluan terlibat semasa penutupan jalan, selain merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan kesulitan,” katanya.

LTdL 2025 melalui kesemua 12 negeri di Semenanjung Malaysia melibatkan lapan peringkat saingan dengan jarak keseluruhan 1,243.5 km, bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di hadapan KLCC, Kuala Lumpur, pada 5 Okt.