SHAH ALAM, 1 OKT: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menolak pelan damai yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump untuk menamatkan perang di Gaza kerana dianggap sebagai bentuk penjajahan baharu berselindung di sebalik naratif perdamaian dan pembangunan ekonomi.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pelan tersebut menimbulkan keraguan besar kerana suara rakyat Palestin langsung tidak diambil kira dalam menentukan masa depan, hak dan maruah mereka.
“Walaupun digambarkan sebagai pelan damai, ia hakikatnya menafikan hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, perincian pelan berkenaan, khususnya perkara sembilan hingga sebelas, memperlihatkan penubuhan pentadbiran sementara Gaza melalui sebuah badan antarabangsa dinamakan Board of Peace. Badan itu diketuai Trump sendiri dengan penglibatan tokoh Barat termasuk Tony Blair.
Beliau menjelaskan langkah itu jelas menggambarkan seolah-olah Gaza tidak mampu menguruskan pentadbiran tanpa kawalan luar, malah pemilihan tokoh asing yang pernah terpalit dengan rekod peperangan merupakan penghinaan terhadap dunia Islam.
ABIM turut menegaskan pelan tersebut mencedok kembali dokumen “Peace to Prosperity” 2020 yang pernah ditolak rakyat Palestin, dengan penekanan kepada zon ekonomi khas serta projek mega yang direka oleh warga Israel.
“Jika 1948 menyaksikan penjajahan politik, maka tahun 2025 ini adalah penjajahan korporat moden yang menguasai tanah, sumber dan kedaulatan ekonomi rakyat Palestin atas nama pembangunan semula,” tegasnya.
Sehubungan itu, ABIM menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara berkecuali supaya tidak menjadi sekadar ‘rubber stamp’ kepada kuasa besar, sebaliknya memperkukuh tekanan politik, diplomatik dan ekonomi terhadap Israel.
ABIM turut melahirkan kekecewaan terhadap pendirian tidak konsisten sesetengah pihak dalam isu Palestin yang melemahkan solidariti global. Hanya pendirian berprinsip dan tegas mampu mengangkat suara dunia Islam dan masyarakat antarabangsa di pentas global.
“Keamanan sejati tidak akan lahir daripada kompromi yang memperdagangkan penderitaan rakyat Palestin demi kepentingan geopolitik. Dunia Islam mesti menjadi benteng kebenaran, bukan alat pengabsahan kepada penjajahan baharu,” katanya.