SHAH ALAM, 1 OKT: Tarian tradisional dan busana warisan Melayu Selangor diketengah di Wellington, New Zealand sempena Program Diplomasi Budaya Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia 2025.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata bertemakan Gemalai dan Tenunan: A Cultural Immersion, program berkenaan sekali gus mengangkat warisan seni tari dan tenun Melayu ke pentas dunia.
“Selangor amat berbangga kerana kumpulan kesenian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) berdiri di pentas global St James Theatre, mempersembahkan tarian tradisional dan busana warisan Melayu.

“Persembahan ditampilkan termasuk tarian Ronggeng Selangor, Jo’oh Mah Meri, Wau Kapal dan Hati Kama serta Tarian Warna Muhibbah. Selain itu, pertunjukan busana warisan Melayu Selangor termasuk Kebaya Selangor, Batik Selangor, Baju Sikap, Kelingkan dan Telepuk.
“Ia dipersembahkan di hadapan diplomat, diaspora Malaysia, pelajar Malaysia serta sahabat antarabangsa di New Zealand,” katanya di Facebook.
Menurut Borhan sempena Tahun Melawat Selangor 2025, peta dan buku direktori pelancongan Selangor turut diedarkan sebagai usaha memperkenalkan pesona pelancongan Selangor di persada antarabangsa.

“Diplomasi budaya sebegini bukan sekadar seni, tetapi jambatan persahabatan membuka ruang kerjasama dalam pelancongan, pendidikan ekonomi kreatif,” katanya.
Sebelum ini, keunikan tarian topeng Mah Meri menyemarakkan kemeriahan pameran Minggu Selangor pada Pavilion Malaysia sempena Ekspo Osaka, Kansai 2025, Jepun.
