PUTRAJAYA, 1 OKT: Kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang belayar di perairan antarabangsa dijangka memasuki zon merah R3 iaitu kira-kira 100 batu nautika dari Gaza pada 9 malam ini (waktu Malaysia), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata laporan Sumud Nusantara Command Center (SNCC) memaklumkan flotila itu, yang kini berada di zon kuning, juga berdepan situasi tegang pada 8.45 pagi tadi (waktu Malaysia) apabila dihampiri kapal dipercayai milik rejim zionis Israel.
"Bot-bot dalam GSF dijangka memasuki zon merah dalam tempoh beberapa jam dari sekarang, dan keberadaan kapal yang diyakini milik rejim zionis Israel ini membimbangkan," katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Fahmi juga berkata sekitar 10 unit dron turut dikesan berlegar di kawasan berkenaan namun setakat ini, belum berlaku sebarang pintasan fizikal dan delegasi flotilla kini dalam keadaan berjaga-jaga dengan persediaan penuh.
Beliau berkata sekiranya bot mereka dipintas serta terputus hubungan, beberapa langkah telah disiapkan dan akan diaktifkan mengikut prosedur.
"Pergerakan (peserta GSF) secara langsung (menerusi) kamera litar tertutup (CCTV) yang telah dilengkapkan di atas kapal-kapal telah mula dipancarkan untuk tontonan dunia sekiranya berlaku sebarang insiden.
"Kita doakan misi GSF ini berjaya dan peserta sentiasa selamat... kita perlu terus bantu untuk bina naratif bagi menyokong perdamaian di Gaza dan juga usaha GSF ini mencapai kejayaan," katanya.
Beliau berkata selain dua kumpulan GSF yang sudah berada di zon kuning berkenaan, terdapat kumpulan ketiga membabitkan pasukan dari Malaysia yang sedang dalam perjalanan dan akan berlepas dari Greece menuju ke Gaza dalam masa terdekat.
"Dengan gelombang ketiga untuk GSF, jumlah peserta rakyat Malaysia akan lebih besar... jadi, untuk keluarga mereka di sini, bantuan akan disediakan dan sekiranya berlaku apa-apa, sudah pasti kerajaan akan segera menyediakan bantuan untuk peserta," katanya.
Fahmi berkata semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat SNCC dan memaklumkan bahawa beberapa bentuk bantuan telah disusun termasuk untuk keluarga 34 peserta di tanah air.
Ditanya pendirian Malaysia terhadap kerangka perdamaian terbaharu yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat berhubung Gaza, Fahmi berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengeluarkan kenyataan rasmi.
Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang merupakan sebahagian aktivis dari 45 negara yang belayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan terhadap wilayah itu.
Flotila berkenaan sebelum ini berdepan pelbagai rintangan termasuk serangan dron.
Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi berkenaan menerusi sokongan Perdana Menteri.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
- BERNAMA