PETALING JAYA, 1 Okt: Rakyat berpendapatan rendah (B40) di negara ini menunjukkan tahap celik kewangan yang semakin baik apabila lebih separuh daripada mereka yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan kini merancang persaraan, berbanding hanya 48 peratus tahun lalu.
Menurut Tinjauan Literasi Kewangan Malaysia 2025 oleh platform perbandingan kewangan RinggitPlus yang melibatkan 3,113 responden, kesedaran kumpulan B40 terhadap skor kredit juga meningkat apabila hanya 40 peratus melaporkan tidak mengenali konsep tersebut, menurun daripada 45 peratus sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew berkata hasil tinjauan itu menunjukkan perkembangan positif dalam kefahaman kumpulan B40 mengenai hutang dan amalan pengurusan kewangan.
“Melihat kepada hasil tinjauan, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah, terdapat pemahaman yang baik terhadap risiko skim ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL). Sekitar 36 peratus langsung mengelak daripada menggunakan kemudahan tersebut,” katanya pada pelancaran tinjauan itu di sini hari ini.
Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mendedahkan hutang BNPL sebanyak RM2.8 bilion masih kecil berbanding jumlah keseluruhan hutang isi rumah iaitu hanya 0.2 peratus setakat Disember 2024.
Bagaimanapun, Laporan Kestabilan Kewangan bank pusat itu bagi separuh kedua 2024 mencatatkan jumlah urus niaga BNPL meningkat ketara dengan 83.8 juta transaksi bernilai RM7.1 bilion dalam tempoh berkenaan.

Tinjauan tersebut turut mendedahkan generasi muda Gen Z muncul sebagai pencetus positif landskap kewangan negara apabila semakin ramai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan platform digital bagi mengurus wang secara bertanggungjawab.
Sebanyak 62 peratus Gen Z kini menggunakan AI untuk tujuan belanjawan, pelaburan atau mendapatkan nasihat kewangan.
Dari segi pelaburan, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kekal pilihan utama rakyat dengan 64 peratus responden melabur dalam dana tersebut, diikuti unit amanah (42 peratus), logam berharga (38 peratus), ekuiti tempatan (24 peratus) dan mata wang kripto (22 peratus).
Corak pelaburan turut berbeza mengikut generasi apabila Gen Z mendahului penggunaan mata wang kripto dan penasihat robo, manakala generasi milenial lebih cenderung menyebar portfolio pada dana ASNB, unit amanah dan ekuiti. Generasi X pula masih mengekalkan keutamaan pada pelaburan hartanah.
Tinjauan itu juga mendapati perbezaan ketara mengikut jantina, dengan wanita lebih memilih pelaburan ASNB dan logam berharga, manakala lelaki lebih cenderung kepada ekuiti, kripto dan penasihat robo.
Selain itu, 68 peratus rakyat Malaysia kini bergantung kepada media sosial sebagai saluran utama pendidikan kewangan, dengan tahap keyakinan terhadap platform itu meningkat apabila dinilai 4.3 daripada 5, berbanding 4.0 pada 2024.
Yuen dalam pada itu memuji peranan BNM mengekalkan pasaran kewangan yang stabil dan teratur, selain menyifatkan inisiatif kerajaan seperti pelaksanaan gaji minimum lebih tinggi serta bantuan sekali bayar RM100 di bawah Sumbangan Asas Rahmah (Sara) memberi kesan positif kepada rakyat.
“Jelas sekali inisiatif ini membantu meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia,” katanya.