ISTANBUL, 1 OKT: Global Sumud Flotilla (GSF) yang belayar bagi mencabar sekatan Israel ke atas Gaza semalam mengumumkan kapalnya kini berada kurang 160 batu nautika (296 kilometer) dari wilayah yang dikepung itu dan dijangka memasuki zon berisiko tinggi malam ini, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kami kini berada kurang 160 batu nautika dari Gaza, 10 batu nautika dari zon berisiko tinggi. Terus berjaga-jaga,” menurut kenyataan flotila di Instagram.
Menurut wartawan Al Jazeera yang berada di atas kapal, dron pengintip tidak dikenali turut dikesan pada altitud sederhana di kawasan pelayaran flotila di perairan Mediterranean.
Sementara itu, aktivis Turkiye, Muhammed Salih berkata sebuah kapal tentera laut Israel dikesan pada jarak 80 kilometer dari Global Sumud Flotilla, ketika bercakap dari kapal layar Adagio.
“Kami menjangkakan kemungkinan pemintasan atau serangan Israel malam ini atau malam esok.
"Namun besar kemungkinan ia berlaku malam ini. Kami berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya.
"Semua orang sudah memakai jaket keselamatan dan menunggu di dek,” kata Salih dalam satu rakaman video di Instagram.
Penganjur flotilla itu turut mengeluarkan amaran kritikal, menyeru perhatian masyarakat antarabangsa dengan menegaskan: “Keselamatan kami bergantung kepada dunia yang memerhati.”
Mereka menekankan bahawa petugas dan aktivis di seluruh dunia sedang bersiap sedia menggerakkan mobilisasi besar-besaran sebagai tanda solidariti, sambil menuntut laluan selamat bagi flotila itu.
“Serangan terhadap flotila adalah serangan terhadap Palestin,” menurut kenyataan itu yang menggesa penyokong global menyebarkan mesej, menyertai tindakan kolektif dan menentang genosid yang sedang berlaku di Gaza.
Flotila berkenaan membawa bekalan kemanusiaan dan aktivis antarabangsa sebagai sebahagian daripada usaha memecahkan sekatan Israel sejak bertahun lalu yang semakin memburukkan kehidupan di Gaza.
- BERNAMA-ANADOLU