ad

Aktivis: Heret syarikat pengangkutan sebabkan kemalangan ke mahkamah

1 Okt 2025, 3:08 AM
Aktivis: Heret syarikat pengangkutan sebabkan kemalangan ke mahkamah

SHAH ALAM, 1 OKT: Sudah tiba masanya pihak berkuasa bertegas dan tidak lagi bertolak ansur terhadap pengendali syarikat pengangkutan yang menyebabkan kematian atau kecederaan dalam nahas jalan raya.

Aktivis keselamatan jalan raya berkata sehingga hari ini belum ada operator pengangkutan darat yang diheret ke mahkamah atas kesalahan cuai atau lalai dalam aspek keselamatan kenderaan mereka.

Menurut Shahrim Tamrin, kes termasuk tragedi 37 maut dalam kemalangan bas di KM3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur serta nahas bas persiaran di Gerik dengan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), empat bulan lalu.

“Untuk rekod, sehingga kenyataan media ini ditulis, tiada pengendali rel dan pengangkutan jalan raya telah diheret ke mahkamah semasa era Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sebelum ia dibubarkan.

“Sepanjang pemerhatian saya, belum pernah pendakwaan dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis di mahkamah terhadap pengendali syarikat pengangkutan setiap kali bencana kenderaan berat berlaku,” katanya menerusi kenyataan.

Keadaan bas yang terlibat kemalangan sehingga mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, pada 9 Jun 2025. Foto BERNAMA

Sehubungan itu, beliau menggesa serta merayu supaya pihak berkuasa tidak lagi bertolak ansur dan berhenti membuat alasan untuk tidak mengambil tindakan tegas terhadap operator syarikat pengangkutan.

Jelas Shahrim, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan peraturan permit berserta Kod Amalan, Keselamatan dan Kesihatan (iCOP SHE) memaklumkan, syarikat pengangkutan boleh dikenakan tindakan mahkamah kerana kecuaian atau kegagalan mematuhi garis panduan.

“Namun, saya dimaklumkan oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan bahawa usaha pendakwaan terhadap syarikat adalah sukar kerana proses pendakwaan rumit akibat tiada dapatan jelas serta ketiadaan pertuduhan khusus,” katanya.

Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa konvoi pasukan FRU dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena Hari Wesak pada 13 Mei 2025. Foto BERNAMA

Bekas ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) itu juga percaya rakyat sudah muak mendengar laporan kematian dan kecederaan kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian kenderaan berat.

“Sekarang adalah masa yang tepat untuk pihak berkuasa mengheret operator pengangkutan yang degil dan cuai ke mahkamah. Bangkitlah dari lena wahai Kementerian Pengangkutan berserta pihak berkuasa demi nyawa rakyat,” katanya.

Sabtu lalu, seorang bayi lelaki meninggal dunia dan lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan yang dipercayai berpunca daripada lori yang mengalami masalah brek di Plaza Tol Bukit Kajang.

Semalam, seorang lelaki maut manakala tujug lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan termasuk sebuah treler di Masjid Sabak Uni, Jalan Kluang - Batu Pahat, Johor.