SHAH ALAM, 30 SEPT: Konvensyen Belia Selangor menjadi pemangkin perubahan minda anak muda terhadap peluang kepimpinan, sekali gus diyakini mampu melahirkan barisan pelapis baharu yang lebih berwibawa dan bersedia mengemudi masa depan negara.
Pegawai Ahli Parlimen Petaling Jaya, Nur Nazirah Abdullah, yang turut menyertai konvensyen berkenaan berkata platform berbentuk dialog dan forum bersama tokoh pelbagai latar belakang memberi ruang kepada belia untuk memahami cabaran semasa dari perspektif sebenar.

“Konvensyen ini memberi pendedahan baharu dan membuka minda anak muda tentang peluang untuk menjadi pemimpin masa depan. Inisiatif ini langkah baik Kerajaan Selangor dalam memastikan belia mempunyai pelapis yang mampu memacu masa depan lebih cerah,” katanya kepada Media Selangor.
Penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Selangor Nasional, Aliff Aiman Norazlan, 23, menyifatkan konvensyen itu sebagai medium holistik kerana turut menekankan aspek kepimpinan, keusahawanan dan sukan yang menjadi tunjang pembangunan belia.
“Forum yang dianjurkan memberi impak positif. Minda kita dibuka mengenai cabaran masa kini dan yang mendatang. Generasi pelapis kena bersedia untuk memacu negara,” katanya.

Konvensyen turut melibatkan penglibatan sukarelawan yang dianggap peluang keemasan buat anak muda menimba pengalaman secara langsung dalam penganjuran acara besar.
Sukarelawan dari Kolej Professional MAIWP, Siti Nurul Ain Hiji, 19, berkata penglibatan tersebut bukan sahaja menambah pengalaman malah memperluas jaringan sosial kerana berpeluang bertemu lebih ramai individu.
“Banyak perkara yang ditimba dalam konvensyen ini. Aspek kepimpinan dan sukarelawan perlu seiring. Semua ini membentuk diri kita untuk masa depan,” katanya.

Anak Selangor yang menuntut di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Az Zahra Hafizahida, 21, berkata konvesyen tersebut juga membuka minatnya untuk menyertai aktiviti sukarelawan.
“Temasya SUKMA akan dianjurkan di Selangor tahun depan. Ia peluang kepada untuk menjadi sukarelawan. Sudah pasti banyak perkara yang akan saya berlajar nanti.
“Ini peluang yang tidak boleh saya lepaskan. Paling saya nantikan ialah menyaksikan acara secara langsung kerana sebelum ini hanya menonton melalui televisyen,” katanya.

Konvensyen ini jelas membuktikan bahawa belia bukan sekadar pemerhati, tetapi bersedia tampil sebagai penggerak dan peneraju masa depan — asalkan diberikan ruang dan kepercayaan.
Konvensyen Belia Selangor yang julung kali diadakan menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri pemimpin belia peringkat universiti, kolej dan menengah.
Program bertemakan Merencana Generasi, Membentuk Peradaban di Dewan Raja Muda Musa di sini, menumpukan pelbagai pengisian termasuk aspek keusahawanan, kepimpinan dan sukan.