ad

Loji Janakuasa Pulau Indah bekal elektrik stabil untuk lebih 1.2 juta kediaman, perniagaan

30 Sep 2025, 6:10 AM
Loji Janakuasa Pulau Indah bekal elektrik stabil untuk lebih 1.2 juta kediaman, perniagaan
Loji Janakuasa Pulau Indah bekal elektrik stabil untuk lebih 1.2 juta kediaman, perniagaan
Loji Janakuasa Pulau Indah bekal elektrik stabil untuk lebih 1.2 juta kediaman, perniagaan
Loji Janakuasa Pulau Indah bekal elektrik stabil untuk lebih 1.2 juta kediaman, perniagaan

KLANG, 30 SEPT: Loji Janakuasa Pulau Indah (PIPP) kini menyalurkan bekalan elektrik kepada lebih 1.2 juta kediaman dan perniagaan di Lembah Klang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Bhd Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Beliau berkata projek tersebut berjaya disiapkan mengikut jadual dan kos yang ditetapkan meskipun berdepan pelbagai cabaran teknikal, kewangan serta global termasuk pandemik Covid-19, banjir dan gangguan cuaca lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Datin Paduka Norazlina Zakaria berucap ketika majlis Perasmian Loji Kuasa Pulau Indah di Pulau Indah Power Plant (PIPP), Klang pada 30 September 2025. Foto FIKRI YUSOF / MEDIA SELANGOR

“Melihat kepada pencapaian ini, ia bukan sekadar sebuah loji janakuasa, tetapi hasil kerjasama bertahun-tahun, komitmen dan matlamat bersama membina sesuatu yang bermakna untuk negeri dan negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian loji janakuasa berkenaan di sini, hari ini.

Norazlina menambah kemudahan tersebut antara yang paling cekap di rantau ini kerana mampu menjana lebih banyak tenaga dengan pelepasan lebih rendah, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana projek PIPP amat signifikan memandangkan ia dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat milik Kerajaan Negeri.

“Kami adalah syarikat berkaitan kerajaan negeri pertama yang melaksanakan projek penjana tenaga bebas (IPP) dari awal hingga akhir, termasuk mengurus operasi dan penyelenggaraan sepenuhnya menggunakan kepakaran sendiri. Perjalanan ini membolehkan kita membina keupayaan teknikal dan melahirkan bakat dalam Selangor,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Datin Paduka Norazlina Zakaria (kiri) mengiringi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Sri Fadillah Yusof dan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melihat model replika logi kuasa ketika majlis Perasmian Loji Kuasa Pulau Indah di Pulau Indah Power Plant (PIPP), Klang pada 30 September 2025. Foto FIKRI YUSOF / MEDIA SELANGOR

Tambah beliau, lokasi strategik loji berkenaan juga membolehkan ia menawarkan tarif elektrik yang berdaya saing kepada industri tempatan.

Pada 10 September lalu, Malaysia Rating Corporation Bhd (MARC) memberikan penarafan kukuh AA+IS terhadap program bon Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion PIPP, berdasarkan jaminan pendapatan daripada kontrak jangka panjang bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB), operasi loji sedia ada serta unjuran hasil sekitar RM1.3 bilion pada 2025.

Worldwide Holdings selaku pemegang saham majoriti turut memperluas portfolio tenaga boleh baharunya melalui projek solar berskala besar, loji mini hidro dan fasiliti jana kuasa sisa kepada tenaga di Jeram serta Kuala Langat, selain meneroka bidang hidrogen dan solar terapung.

Loji berkapasiti 1,200 megawatt itu dibangunkan melalui usaha sama Worldwide Holdings (75 peratus) dan Korea Electric Power Corporation (Kepco) (25 peratus), sekali gus menandakan pelaburan sulung Kepco dalam sektor tenaga negara.