KLANG, 30 SEPT: Selangor mempertimbang menghantar pegawai negeri serta menaja pelajar tempatan melanjutkan pengajian dalam bidang penjanaan tenaga nuklear dan teknologi termaju di China, sebagai sebahagian usaha jangka panjang ke arah ekonomi rendah karbon.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu dijangka dimasukkan dalam Belanjawan Selangor 2026 yang dijadual dibentangkan November ini, bermula dengan kumpulan kecil calon.

“Kita masih di peringkat awal menilai kemungkinan penggunaan tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga masa depan, tetapi langkah pertama ialah pembangunan modal insan.
“Kita akan hantar dua atau tiga pegawai atau bakat tempatan yang sesuai. Negeri akan menaja sebahagian pembiayaan manakala universiti pula menampung selebihnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Loji Janakuasa Pulau Indah (PIPP) di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, idea itu tercetus selepas misi perdagangan dan pelaburan ke China pada 23 hingga 30 September lalu, yang turut menyaksikan beliau melawat syarikat teknologi termaju dan bertemu pelajar Malaysia.
“Mereka (China) sangat maju dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan berkaitan. Kami juga bertemu beberapa pelajar Malaysia termasuk seorang yang sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana dalam bidang tersebut.
“Dengan peluang yang ada, kita akan kenal pasti tiga atau empat lagi pelajar dari Selangor untuk menyambung pengajian tenaga di China,” katanya.

Beliau turut mengumumkan Kerajaan Negeri akan membentangkan Pelan Induk Tenaga Selangor suku tahun ini, yang merangkumi perancangan peralihan tenaga melalui sumber solar, hidro, hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui lain.
“Pendekatan Selangor terhadap peralihan tenaga bukan sekadar menambah kapasiti megawatt atau menambah baik infrastruktur. Ia juga tentang menjana nilai jangka panjang.
“Matlamat kita ialah menjadikan Selangor model ekonomi rendah karbon, dengan pertumbuhan tenaga yang memenuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya sambil menyifatkan PIPP sebagai bukti pelaksanaan dasar tersebut.

Loji PIPP berkapasiti 1,200 megawatt yang dilengkapi turbin gas telah beroperasi sejak Mac, membekalkan tenaga kepada lebih 1.2 juta rumah, industri dan perniagaan.
Projek ini dimiliki Pulau Indah Power Plant Sdn Bhd, usaha sama Worldwide Holdings Bhd (75 peratus) dan Korea Electric Power Corporation (Kepco) (25 peratus), sekali gus menjadi pelaburan pertama Kepco dalam sektor tenaga Malaysia.