SHAH ALAM, 30 SEPT: Polis mengesahkan insiden sebuah treler melanggar kereta yang diparkir di bahu jalan ketika membuat pusingan U di Jalan Hospital Sungai Buloh, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata siasatan awal mendapati treler berkenaan dalam perjalanan dari Klang menuju ke sebuah kilang di Sungai Buloh.
“Pemandu dipercayai tersalah masuk laluan sebelum cuba berpatah balik. Ketika mengundur, treler itu melanggar kereta diparkir di bahu jalan hingga menyebabkan kerosakan pada kedua-dua kenderaan.
“Tiada kecederaan dilaporkan. Kedua-dua pemandu sudah membuat laporan polis di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mematuhi papan tanda lalu lintas bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Terdahulu, rakaman video 32 saat memaparkan treler terbabit membuat pusingan U hingga mengakibatkan kemalangan tular di media sosial.