SHAH ALAM, 29 SEPT: Seorang pengawal keselamatan berusia 52 tahun berdepan detik mencemaskan apabila kereta dipandunya dikepung kira-kira 20 penunggang motosikal berhampiran Plaza Tol Batu 13, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata mangsa membuat laporan sejurus selepas kejadian sekitar jam 4 pagi itu.
“Semakan mendapati kira-kira 20 penunggang motosikal terbabit dalam insiden ini. Polis kini sedang giat mengenal pasti punca kejadian serta mengesan semua individu terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan, selain meminta saksi tampil membantu siasatan.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” tegasnya.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan sebuah kereta Perodua Myvi dikelilingi kumpulan motosikal, manakala pemandunya dilihat terperangkap dalam situasi tegang.
Kenderaan mangsa turut mengalami kerosakan apabila cermin sisi pemandu ditumbuk manakala pintu ditendang penunggang terbabit.