SHAH ALAM, 28 SEPT: Hari kedua misi pelaburan di China, delegasi Selangor diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau operasi pusat e-dagang rentas sempadan dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik bagi memperkukuh pembangunan ekonomi digital negeri.
Delegasi berkunjung ke Amazon Cross-Border E-Commerce Operation Team serta menyaksikan demonstrasi teknologi penstriman langsung oleh Hei Ma Overseas Women’s Apparel Live Streaming & AI Live Marketing.
Amirudin berkata, beliau teruja melihat bagaimana operasi platform e-dagang mampu berfungsi 24 jam tanpa tenaga manusia, manakala sesi live commerce boleh disiarkan ke seluruh dunia dengan penterjemahan automatik pelbagai bahasa menggunakan kecerdasan buatan (AI).
"Delegasi seterusnya menghadiri majlis MoU antara Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), APR Electronic Services Sdn Bhd (APR) dan Hei Ma Overseas Services (Shenzhen) Co. Ltd.
"Kerjasama strategik itu merangkumi latihan TVET dalam bidang e-dagang dan penstriman langsung, melahirkan tenaga kerja mahir, menyokong keusahawanan digital, membuka laluan perdagangan rentas sempadan serta menjadikan Selangor hab serantau pembangunan bakat digital Asia Tenggara," katanya.
Inisiatif tersebut turut merangkumi penubuhan Malaysia–China Training and Incubation Centre yang disahkan Kerajaan Negeri Selangor, pembinaan rantaian bekalan produk China ke pasaran tempatan, serta penubuhan Malaysian Product Base di China untuk mempromosi produk berkualiti Malaysia ke pasaran global.
“Insya-Allah, pelaburan jangka panjang ini adalah demi masa depan ekonomi digital Selangor, memastikan generasi muda bersedia menghadapi perubahan pantas dunia e-dagang,” kata Amirudin.
Misi berkenaan turut selari dengan kerangka Belt and Road Initiative (BRI) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), sekali gus memperkukuh hubungan Malaysia–China.