ad

Kembara Denggi Selangor perkukuh kerjasama agensi, masyarakat bendung wabak

28 Sep 2025, 1:00 PM
Kembara Denggi Selangor perkukuh kerjasama agensi, masyarakat bendung wabak

KAJANG, 28 SEPT: Kembara Denggi Selangor anjuran Kerajaan Negeri di AEON Cheras Selatan di sini, hari ini, bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam mengenai langkah-langkah pencegahan wabak itu.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata, inisiatif dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang itu juga memberi tumpuan kepada kefahaman masyarakat mengenai bahaya denggi termasuk pengenalan simptom jangkitan.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin melawat reruai pameran ketika program Kembara Kesedaran Denggi Negeri Selangor di AEON Mall Cheras Selatan, Hulu Langat pada 28 September 2025. Foto FIKRI YUSOF / MEDIA SELANGOR

“Hari ini merupakan siri kedua kesinambungan dari siri satu yang diadakan di Klang pada 23 Januari lepas. Program ini bukan dibuat secara one-off kerana tujuan utama untuk meningkatkan kesedaran di setiap daerah.

“Kita juga menjemput pempengaruh dan pihak media untuk menyebar maklumat mengenai program secara meluas untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai keadaan, informasi terkini berkaitan denggi termasuk teknologi yang digunakan untuk membenteras Aedes,” katanya.

Pengunjung melihat jenis nyamuk dewasa di reruai pameran ketika program Kembara Kesedaran Denggi Negeri Selangor di AEON Mall Cheras Selatan, Hulu Langat pada 28 September 2025. Foto FIKRI YUSOF / MEDIA SELANGOR

Ditemui selepas merasmikan program, Jamaliah menambah pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya larian santai sejauh 3 kilometer dan bengkel penyediaan video promosi berkaitan denggi pada sesi pagi.

“Selain itu, terdapat juga pembentangan kisah kejayaan berkaitan pengawalan dan pencegahan denggi serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

“Sebanyak 16 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) turut membuat pameran di sini bagi mempromosi isu-isu dan pencegahan berkaitan Aedes,” katanya lagi.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin melawat reruai pameran ketika program Kembara Kesedaran Denggi Negeri Selangor di AEON Mall Cheras Selatan, Hulu Langat pada 28 September 2025. Foto FIKRI YUSOF / MEDIA SELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.