SHAH ALAM, 28 SEPT: Pada awal 2022, seorang usahawan muda, Mugilan, 33, terjaga daripada tidur dengan sakit di bahagian pinggul. Pada mulanya beliau menyangka ia sekadar keletihan akibat menguruskan perniagaan lori dan kitar semula, namun rasa sakit itu makin menyeksakan sehingga beliau tidak mampu duduk, berjalan atau tidur dengan selesa.
“Itu sejenis sakit yang buat saya rasa ada sesuatu yang betul-betul tidak kena dalam badan,” imbasnya.
Detik awal diagnosis
Beberapa kali berjumpa doktor tidak membawa jawapan jelas. Ada yang mengesyaki hernia, namun Mugilan berasa tidak puas hati. Tidak lama selepas itu, salah satu testisnya mula membengkak hingga beliau tidak mampu lagi memakai pakaian dengan selesa.
“Itulah titik perubahan. Saya tahu saya perlu jumpa pakar. Pada mulanya saya fikir mungkin batu karang, tetapi jauh di sudut hati saya sedar ia sesuatu yang lebih serius,” katanya.
Di klinik urologi, buat pertama kali disebut kemungkinan barah testis. Penyakit ini tidak boleh disahkan melalui biopsi, sebaliknya testis yang terjejas perlu dibuang sepenuhnya untuk dianalisis di makmal. Berita itu benar-benar mengejutkan.
“Bayangkan terpaksa kehilangan sebahagian tubuh yang ada sejak lahir, memang menyedihkan. Tetapi doktor meyakinkan satu testis masih mencukupi untuk menghasilkan hormon, mengekalkan kesuburan dan kehidupan normal. Kata-kata itu memberi saya kekuatan untuk jalani pembedahan,” katanya.
Minggu terpanjang dalam hidup
Pembedahan selesai, tetapi minggu menunggu keputusan terasa paling panjang dalam hidupnya.
“Saya jatuh murung. Setiap hari baca artikel tentang barah testis, tonton kisah pesakit di media sosial, tapi hati tetap risau. Saya terfikir, bagaimana kalau betul ia barah?”
Akhirnya laporan patologi mengesahkan beliau menghidap barah testis tahap satu. Namun rawatan dijalankan seperti tahap dua kerana bimbang ia merebak. Pembedahan hanyalah permulaan perjuangan.
Derita kemoterapi
Rawatan kemoterapi bermula sejurus selepas itu. Selama sembilan minggu, Mugilan menjalani tiga kitaran rawatan. Kesan sampingan datang bertimpa-timpa, rambut gugur, selera makan hilang, loya, muntah, masalah pendengaran, malah penglihatan merosot hingga terpaksa memakai cermin mata seumur hidup.
“Bahagian fizikal memang perit, tapi cabaran mental jauh lebih berat. Setiap hari saya tertanya-tanya bolehkah saya terus hidup. Namun saya ingatkan diri bahawa barah testis boleh dirawat dan peluang sembuh tinggi,” katanya.
Sumber inspirasi dan harapan
Kisah pejuang barah lain banyak menyuntik semangatnya. Beliau membaca pengalaman atlet dan selebriti yang pulih walaupun di tahap lebih serius. Paling mengagumkan, kisah Dr Lawrence Einhorn, pakar onkologi yang menghasilkan rawatan kemoterapi berkesan untuk barah testis.
“Saya sendiri emel Dr Einhorn, dan tidak sangka beliau membalas. Itu benar-benar beri saya harapan,” katanya sambil tersenyum.
Sokongan isteri, keluarga dan rakan juga menjadi tonggak. Baru tujuh bulan mendirikan rumah tangga, berita barah menguji mereka sekeluarga.
"Mereka tetap bersama saya. Dorongan itu membuatkan perjalanan ini lebih mudah,” katanya.
Hidup baharu, misi baharu
Kini, Mugilan melihat perjalanan ini bukan sekadar untuk terus hidup, tetapi peluang kedua. Beliau aktif menyebarkan kesedaran, khususnya kepada golongan lelaki agar tidak mengabaikan tanda awal.
“Barah tidak menunggu. Kalau ada bengkak, rasa berat atau sakit pada testis, segera dapatkan pemeriksaan. Diagnosis awal segalanya. Bahkan barah tahap tiga pun boleh sembuh jika ikut rawatan,” tegasnya.
Gaya hidupnya turut berubah. Beliau mengamalkan diet seimbang berasaskan sayuran, protein dan ramuan semula jadi seperti halia untuk mengurangkan loya.
Makanan diproses dan gula yang disifatkan sebagai “pembunuh senyap” ditinggalkan.
“Ketika kemo saya sedar betapa pentingnya pemakanan. Gula ibarat makanan kepada barah, jadi saya elak sepenuhnya. Fokus saya kini ialah gaya hidup lebih sihat dan pengurusan berat badan berperingkat,” katanya.
Selain itu, Mugilan menekankan pentingnya pemeriksaan susulan berkala selama lima tahun selepas rawatan bagi memastikan barah tidak kembali.
“Ya, ia berat. Tetapi perjalanan ini mendidik kita erti ketabahan, kesyukuran dan menghargai hidup. Setiap hari amat bernilai,” katanya lagi.
Suara perjuangan
Daripada seorang usahawan muda yang terkejut dengan diagnosis mengejut, kini Mugilan muncul sebagai suara penyokong dan inspirasi. Pesannya jelas:
“Jangan takut pada barah testis. Ia antara barah yang paling mudah dirawat. Lalui rawatan, terus kuat, dan anda akan keluar dengan pandangan hidup yang baharu.”
Bagi beliau, sakit yang dahulunya menyeksakan akhirnya membawa kepada tujuan hidup yang lebih bermakna, bukan sekadar menguruskan perniagaan, tetapi juga memberi kesedaran, menyokong pesakit lain, dan menghargai setiap detik peluang kedua yang dikurniakan.