ad

MB di China: Selangor meterai persefahaman, teroka hab tenaga bersih

27 Sep 2025, 10:13 AM
MB di China: Selangor meterai persefahaman, teroka hab tenaga bersih
MB di China: Selangor meterai persefahaman, teroka hab tenaga bersih

SHAH ALAM, 27 SEPT: Selangor meneruskan komitmen meneroka potensi teknologi tenaga bersih dengan memeterai persefahaman bersama syarikat China General Nuclear (CGN) di Shenzhen, China hari ini.

Dato' Menteri Besar berkata kerjasama itu bukan hanya memperkukuh ekosistem tenaga hijau, malah mengorak langkah negeri sebagai destinasi pelaburan utama dan hab teknologi bersih Asia Tenggara.

Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan usaha berkenaan juga menunjukkan komitmen negeri dalam melaksanakan agenda kelestarian yang akan membuka lebih banyak peluang pelaburan baharu.

"Usaha ini turut meningkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan tenaga lestari demi masa depan generasi akan datang," katanya sempena lawatan kerja ke Loji Tenaga Nuklear Daya Bay.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) bersama delegasi Selangor bergambar bersama Timbalan Pengarah Perniagaan Antarabangsa, Unit Perniagaan Tenaga Nuklear CGN Hu Zhuo (tiga, kiri) ketika melawat Loji Tenaga Nuklear Daya Bay di Shenzhen, Guangdong pada 27 September 2025. Foto NUR ADIBAH IZHAM/MEDIA SELANGOR

Lawatan ke loji tenaga komersial pertama di China bersama delegasi Selangor turut disertai Worldwide Holdings Berhad dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Menurut Amirudin, lawatan tersebut membolehkan Selangor memahami dengan lebih mendalam teknologi tenaga bersih serta potensi kerjasama dalam bidang latihan dan penyelidikan.

"CGN Daya Bay turut menjadi rujukan pembangunan tenaga nuklear di rantau Asia, serta ikon tenaga moden," jelasnya menambah loji tersebut beroperasi sejak 1994.

Berkapasiti hampir 2,000 megawatt melalui dua reaktor air bertekanan, ia mampu menjana lebih 15 bilion kWj tenaga elektrik untuk wilayah Guangdong dan sekitar 25 peratus elektrik di Hong Kong.

Dalam pada itu, beliau menambah kerjasama sedia ada antara Worldwide Holdings dengan CGN adalah signifikan dalam memperkukuh agenda Selangor ke arah tenaga hijau.

Jelasnya, Worldwide Holdings sebagai peneraju sektor pengurusan alam sekitar dan tenaga boleh baharu, sedang meneroka peluang bersama CGN antaranya dalam pemindahan teknologi.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama delegasi Selangor melawat Loji Tenaga Nuklear Daya Bay di Shenzhen, Guangdong pada 27 September 2025. Foto NUR ADIBAH IZHAM/MEDIA SELANGOR

"(Turut diteroka) pembangunan kapasiti tenaga bersih, serta latihan kepakaran kejuruteraan nuklear untuk anak-anak Selangor.

"STDC pula berperanan dalam pembinaan kapasiti dan meningkatkan tenaga kerja mahir melalui program TVET sejajar industri berteknologi tinggi, termasuk tenaga nuklear di Selangor," katanya.

Amirudin berada di China bagi misi perdagangan dan pelaburan untuk meneroka potensi kerjasama dengan beberapa pemain industri utama mulai 23 sehingga 30 September.

Lawatan turut disertai EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop dan Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor.

Turut bersama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.