ad

Akta 775: KKM kaji potensi perubatan tradisional peribumi untuk diiktiraf

27 Sep 2025, 7:55 AM
Akta 775: KKM kaji potensi perubatan tradisional peribumi untuk diiktiraf

KUALA LANGAT, 27 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menilai potensi perubatan tradisional peribumi untuk diiktiraf di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775], kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata Malaysia sebelum ini telah meletakkan asas kawal selia melalui akta itu terhadap tujuh bidang perubatan tradisional dan alternatif lain iaitu perubatan Melayu, Cina, India, homeopati, kiropraktik, osteopati dan pengubatan Islam.

“Proses ini melibatkan dokumentasi amalan turun-temurun. Yang mustahak ialah dokumentasi, diikuti libat urus dan pemetaan pengamal, khususnya mereka yang sudah masyhur di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Akhirnya kita dapat mengenal pasti kehebatan mereka dan ideanya adalah mewujudkan ‘mutual referencing’ untuk kes tertentu, sebagai contoh rawatan ortopedik,” katanya.

Beliau merasmikan Program Jalinan MADANI: Pemerkasaan Perubatan Tradisional Orang Asli Semenanjung, Anak Negeri Sabah dan Anak Negeri Sarawak, di sini hari ini.

Dzulkefly berkata usaha itu bukan sekadar mengiktiraf cabang perubatan berkenaan, malah sebagai persediaan menerima perubatan tradisional peribumi sebagai antara elemen yang mampu memberi manfaat kepada sektor penjagaan kesihatan negara.

Beliau berkata setakat ini, sesi libat urus di Semenanjung, Sabah dan Sarawak melibatkan lebih 373 peserta daripada lebih 25 komuniti peribumi melalui dialog terbuka dan lawatan lapangan, dengan pelbagai pengetahuan serta amalan tradisional telah didokumentasi.

“Apa pun perkara ini perlu dicermati dengan pendekatan bijak, termasuk menangani kebimbangan pengamal perubatan peribumi berkaitan hak harta intelek, perkongsian manfaat dan sebagainya,” katanya.

Beliau menegaskan KKM memberi jaminan akan mempermudah proses berkaitan bagi memperkasakan dan mengiktiraf perubatan tradisional peribumi sebagai salah satu cabang perubatan komplementari di Malaysia.

‎- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.